Perfect Your Dream Slideshow: -SIXZEROSIX-’s trip to Kuala Lumpur was created with TripAdvisor TripWow!

Akhlak.Tasauf.Psikologi Akhlak


Soalan-soalan:
  1. Menjadi Insan Yang Mulia
  2. Taat Kepada Kedua Orang Tua
  3. Amalan Anak Yang Soleh
  4. Sombong Terhadap Orang Arif dan Lebih Tua
  5. Belagak Pandai tetapi Bodoh
  6. Memutuskan Silaturrahim (Hubungan Persaudaraan sesama SeIslam)
  7. Tabiat Menipu
  8. Menghormati Ibu Bapa dan Orang Lebih Tua
  9. Anak Yang Mendoakan Kedua Ibu Bapa
  10. Taubat Anak Terhadap Ibu yang Telah Meninggal
  11. Niat Baik dan Jahat 
  12. Memutuskan Tali Silaturrahim
  13. Hukum Mandi Berbogel
  14. Menghindar Gangguan Syaitan di dalam Tidur 
  15. Mengelak Dari Mengumpat
  16. Tatatertib di Rumah Allah 
  17. Menyalahguna Waktu Bekerja
  18. Perbualan yang Menimbulkan Berahi
  19. Peranan Anak Terhadap Ibu bapa
  20. Doa Menghindari Sifat Marah
  21. Membalas Jasa Terhadap Keluarga yang Meninggal
  22. Berutus Surat kepada Bukan Muhrim
  23. Berkasih Sayang Kerana Allah
  24. Bertaubat dengan Sebenarnya
  25. Keinginan Mempelajari Ilmu Agama
  26. Adab Membawa Al Quran Dalam Perjalanan
  27. Keizinan Ibu Bapa
  28. Menanggung Perbelanjaan Ibu Bapa
  29. Memberi Salam Kepada Orang yang Berdosa
  30. Melihat Aurat Sejenis
  31. Memohon Kemaafan 
  32. Berpacaran Melalui Internet



1. Menjadi Insan Yang Mulia
Soalan:

Bagaimanakah untuk mendapatkan insan yang berhati mulia dan diredhai Allah S.W.T.?
Alang, KIMIA, P.J
Jawapan:
Keredhaan Allah merupakan nikmat yang paling agung, yang hanya dimiliki oleh insan yang bertaqwa kepada-Nya. Ketaqwaan itu hanya dimiliki oleh insan yang beribadah dan beramal soleh. Sedangkan amal soleh yang memperoleh keberkatan adalah amal soleh yang disertakan dengan ilmu. Jadi ilmu adalah sumber segala kekuatan untuk memperoleh keredhaan Allah.
Saidina Ali bin Abi Thalib pernah berkata "Ada dua orang yang mendatangkan bala bencana kepada kita iaitu orang yang berilmu yang tidak menjaga kehormatan dan orang yang bodoh yang kuat beribadah.
Orang yang bodoh itu menipu manusia dengan amalnya sedangkan orang yang berilmu itu menipu manusia dengan kelalaiannya."
Dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya sesuai dengan tuntutan Islam maka kita akan memiliki hati yang mulia. 


2. Taat Kepada Kedua Orang Tua
Soalan:

Sebagai seorang anak kita mestilah taat kepada kedua Ibu & Bapa Jikalau kita ingin melakukan sesuatu pekerjaan yang baik ataupun yang ringkasnya sesuatu yang diredhai Allah, tetapi Ibu tidak redha diatas pekerjaan tersebut adakah kita harus akur terhadap kehendaknya (Ibu). Kerana setahu saya keredhaan Ibu adalah jua keredhaan Allah S.W.T. Untuk pengetahuan Ustaz, saya masih lagi berharap ke hadrat Allah supaya saya dapat melaksanakan niat saya itu. Jadi tolonglah ustaz beri padangan / penyelesaian terhadap masalah saya ini.
Muhammad Yusuf , PJ
Jawapan:
Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua ialah menyalahi perintah keduanya, sebagaimana bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang dari mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu bukan maksiat. Meskipun pada asalnya perintah itu termasuk jenis mubah, begitu pula bila termasuk jenis mandub (sunat).
Dalam sebuah hadis dijelaskan, Rasulullah SAW bersabda: Dari Abdullah bin Amr, ia berkata: seorang lelaki datang kepada Rasulullah, lalu berkata: "Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang kesini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis". Lalu sabda baginda: "Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis". (Riwayat Ibnu Majah)
Jadi perintah ibu atau bapa yang bukan bersifat maksiat atau mempersekutukan Allah, maka kita wajib mentaatinya. Namun jika perintah nya bersifat melawan kehendak dan hukum agama, maka tolaklah dengan cara yang baik.  
DN 105 ♂ Permata Idaman Mutiara Syurga LELAKI SOLEH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
DN 248 20 Kesilapan Anak - Siri Keluarga Gemilang


3. Amalan Anak Yang Soleh
Soalan:

Apakah yang dimaksudkan dengan amalan anak yang salih diterima oleh kedua ibubapanya?
Adakah anak tersebut perlu meniatkan amalan tersebut khas kepada ibubapa mereka atau tidak..?
Abdullah Abu Bakar, KL
Jawapan:
Segala amal kebajikan yang dilakukan oleh seseorang dapat dikatakan sebagai amalan anak yang soleh, kerana setiap kita mempunyai ayah dan ibu. Samada kita kirim secara khusus doa untuk orang tua atau kita beramal untuk diri kita sendiri, maka segala kebaikan dan kebajikan yang kita lakukan itu merupakan ibadah anak yang soleh. Adalah lebih baik kita mendoakan kedua ibu bapa dengan doa yang khusus seperti yang tercantum dalam ayat Al Quran dan diamalkan oleh setiap orang selesai mengerjakan solat.


4. Sombong Terhadap Orang Arif dan Lebih Tua
Soalan:

Apakah hukum seseorang yang sombong dan bongkak terhadap orang yang lebih arif dan tua
daripadanya?
Hamba Allah
Jawapan:
Menghormati orang yang lebih arif merupakan tanggungjawab setiap idividu kerana Rasulullah SAW sangat mencintai orang yang menghargai ilmu, sebagaimana baginda menyayangi saidina Ali Karamallahu wajhahu yang merupakan babul ilmi atau gedung ilmu pada zamannya. Bahkan Saidina Ali ra. sendiri pernah berkata : "Orang berilmu lebih utama daripada orang yang selalu berpuasa, bersolat (sunat) dan berjihad. Apabila mati orang yang berilmu, maka terdapatlah suatu kekosongan dalam Islam yang tidak dapat ditutup selain oleh penggantinya atau orang yang berilmu juga".
Begitu juga tentang sifat sombong merupakan sifat yang paling dibenci oleh Allah SWT jika para hamba-Nya memilikinya. Kerana yang berhak memiliki kesombongan itu hanya Allah, sebab Dialah Yang Maha Kuasa. Sifat sombong juga menyebabkan seseorang terhalang untuk dimasukkan ke dalam syurga di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa kelak pada hari kiamat ia suci dari tiga perkara, maka ia akan masuk syurga, iaitu dari sikap sombong, rasuah dan hutang". (Riwayat Tirmizi) Bertawadhuklah  serta merendahkan diri kepada Allah, agar kita tidak menyombongkan diri dalam segala hal. Dengan demikian kita akan tergolong insan yang diredhai-Nya. Insya Allah.

5. Belagak Pandai tetapi Bodoh
Soalan:

Apakah hukum orang yang suka cakap besar dan tinggi padahal dia tidak tahu apa-apa?
Hamba Allah
Jawapan:
Rasulullah SAW berjalan melalui sekelompok sahabat yang sedang berkumpul. Baginda bertanya; "Mengapa kamu berkumpul di sini ?" Sahabat menjawab: "Ya Rasulullah disini  ada orang  gila yang sedang mengamuk, sebab itu kami berkumpul di sini". Kemudian baginda bersabda: "Orang ini bukan gila, ia sedang mendapat musibah. Tahukah kamu, siapakah orang gila yang sebenar ?". Para sahabat menjawab: "Tidak ya Rasulullah". Baginda menjelaskan; orang gila ialah orang yang berjalan dengan takbur atau sombong, yang memandang orang lain dengan pandangan yang merendahkan, yang membusungkan dada, berharap syurga Tuhan sambil berbuat maksiat, kejahatannya membuat orang terganggu. Adapun orang ini dia hanya sedang mendapat musibah".
Begitu hina orang yang sombong tapi bodoh di sisi Rasulullah SAW sehingga baginda menganggapnya sebagai orang gila. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya seberat biji sawi dari takbur (sombong). Dan tidak akan masuk neraka orang yang ada dalam hatinya seberat biji sawi dari iman". (Riwayat Muslim)


6. Memutuskan Silaturrahim (Hubungan Persaudaraan sesama SeIslam)
Soalan:

Apakah hukumnya kalau ibu mertua memutuskan hubungan persaudaraan antara ibu mertua dengan menantunya yang suaminya telah kembali ke rahmahtullah?
Iswadi, KL
Jawapan:
Memutuskan hubungan silaturrahim yang sedia terjalin adalah berdosa besar. Dalam ayat Al Quran ada dijelaskan: "Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka". (Muhammad 22 -23) Sebagai seorang manantu berusahalah agar sikap yang kurang baik ditunjukkan mertua itu dihadapi dengan jiwa yang dewasa, semoga dengan cara ini ia sedar bahawa ia telah melanggar syariat yang telah ditetapkan Allah dalam hal menjalin Silaturrahim.


7. Tabiat Menipu
Soalan:

Assalammualaikum. Soalan saya bergini. Apakah hukumnya seseorang itu MENIPU sedangkan dia tahu menipu itu adalah berdosa dan masihkah ada pengampunan untuk beliau?
Abdul Halim, KL
Jawapan:
Menipu merupakan pekerjaan dosa besar, kerana sifat ini merupakan sifat yang paling menonjol yang dimiliki oleh orang munafik. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga macam, apabila berkata suka berdusta, apabila berjanji selalu menyalahi dan apabila diberi kepercayaan (amanah) suka khianat". (Riwayat Bukhari dan Muslim). Balasan bagi orang suka menipu serta tidak amanah ataupun tergolong dalam orang munafik ini sangat pedih di akhirat nanti. Sekalipun orang munafik atau menipu orang itu sentiasa merahsiakan sifat kemunafikannya, Allah adalah Zat Yang Maha Tahu akan membongkar kesalahannya di hadapan orang-orang Islam apa yang selama ini tersimpan dalam hatinya. Allah berfirman maksudnya: "Atau apakah orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya mengira bahawa Allah tidak akan menampakkan kedengkian mereka? dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tunjukkan mereka kepadamu sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka kiasan-kiasan perkataan mereka dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu" (Muhammad ayat 29-30) Dalam sebuaha riwayat dikisahkan, merupakan perjalanan yang mengerikan bagi mereka yang suka menipu di akhirat nanti dengan melalui jambatan nereka yang lebih lembut dari helaian rambut. Tidak ada manusia yang mampu melaluinya kecuali atas pertolongan Allah. Bagi kaum munafik atau penipu, tatkala mereka menuju jambatan itu dan bersama-sama dengan kaum mukminin, mereka mendapatkan cahaya sebagaimana yang didapati oleh kaum mukminin itu. Nampak seakan-akan mereka turut melakukan solat, zakat, haji dan puasa. Namun di tengah jambatan itu, Allah mencabut cahaya-Nya. Mereka terdiam dan berdiri dalam keadaan bingung, tak mampu melanjutkan perjalanan. Mereka dipanggil oelh orang-orang mukmin supaya mendekatinya supaya mereka memperoleh cahaya, namun mereka tertinggal jauh. Lalu dikatakan kepada orang munafik atau peniupu itu mundurlah ke belakang. Mereka pun mundur mencari cahaya yang hilang. Begitulah nasib bagi orang yang menipu.
Berusahalah untuk bertaubat daripada pekerjaan menipu ini :
1. Kembali kepada Allah SWT dengan mengikuti segala ajaran-Nya dan bertaubat dengan taubat nasuha.
2. Bertawakal kepada Allah SWT dengan sebenarnya sambil mengharapkan keutamaan-Nya.
3. Bersyukur kepada Allah kerana telah membuka hati kita kepada bertaubat kepada-Nya, insya Allah segala kesilapan yang telah kita lakukan pada masa silam akan diampunkan-Nya.


8. Menghormati Ibu Bapa dan Orang Lebih Tua
Soalan:

Apakah hukum seseorang yang tidak menghormati orang yang tua daripadanya seperti, ayah, ibu, abang atau kakaknya sendiri?
Hamba Allah
Jawapan:
Bagi orang yang tidak menghormati kedua ibu bapanya maka hukumnya berdosa besar. Begitu juga jika tidak menghormati orang lebih tua daripada kita, baik tua dari segi usia mahupun tua atau matang dari segi ilmu pengetahuan. Di dalam Islam orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya termasuk ke dalam kategori dosa besar setelah mensyirikkan Allah, dan akan di masukkan ke dalam neraka. Firman Allah SWT maksudnya: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ah (uff) dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia". (Al Isra' 23) Orang yang tidak menghormati ibu bapa akan dilaknat oleh Allah SWT. Sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Ada tiga macam orang yang terkena laknat Allah SWT iaitu: Seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya". (Riwayat Ad Dailami daripada Umar ra)
DN 242 40 Peranan Anak Mithali  
DN 148 ♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal ) 


9. Anak Yang Mendoakan Kedua Ibu Bapa
Soalan:

Selepas sembahyang saya selalu mensedekahkan doa al-fatihah buat arwah ayah saya, dan buat ibu saya juga yang masih ada. Persolannya...adakah kita mensedekahkan al-fatihah itu untuk mereka yang telah tiada sahaja!?
Mohd. Haris, Ipoh
Jawapan:
Anak yang soleh memang berkewajipan mendoakan kedua ibu bapanya samada ia sudah meninggal dunia mahupun ketika keduanya masih hidup. Membaca al fatihah untuk dikirimkan sebagai 'doa' (usah guna istilah 'sedekah') kepada kedua ibu bapa juga sama nilainya dengan mendoakan kebaikan untuk keduanya, kerana demikianlah selayaknya yang harus dilakukan oleh seorang anak.
Buku-buku Kategori:
  Kekeluargaan
Pelajar & Remaja


10. Taubat Anak Terhadap Ibu yang Telah Meninggal
Soalan:

Assalamualaikum. Tuan, seorang sahabat telah bermimpi bertemu dengan ibunya selepas dia menunaikan sembahyang hajat dua raakaat. Didalam mimpi tersebut si anak memohon maaf dengan ibunya tentang dosa yang pernah dilakukannya sebelum ibunya meninggal dunia dahulu dan ibunya menganggukkan kepalanya tanda setuju untuk memaafkannya (didalam mimpi). Soalannya, adakah taubatnya diampunkan oleh Allah s.w.t.?
Hamba Allah, Beranang
Jawapan:
Derhaka kepada ibu ataupun bapa merupakan dosa besar. Ibu adalah orang yang paling besar pengorbanannya dalam membesarkan anak-anaknya, jadi tidak ada sesuatupun yang dapat membalas kebaikan dan perjuangan seorang ibu. Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan Kami perintahkan kepada manusia berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyapihnya (bercerai susu) dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada Ku dan kepada dua orang ibu bapamu; hanya kepada Ku lah kamu kembali".
(Surah Lukman ayat 14) Jika kita telah terlanjur derhaka kepada ibu sedangkan ibu tersebut telah meninggal dunia, maka bertaubatlah setelah itu lakukanlah kewajipan kita sebagai seorang anak. Berbuat baiklah kepadanya dengan mendoakannya serta mengerjakan segala perintah Allah dengan demikian kita telah meringankan bebannya di alam barzakh. Sesungguhnya doa anak yang soleh dan telah bertaubat kepada Allah sangat diharapkan oleh seorang ibu. Setelah kita lakukan taubat dan berbuat baik kepada ibu dengan cara mendoakannya, sedekah untuknya, menjalinkan silaturrahim teman sejawatnya, maka kita serahkan segalanya kepada Allah. Hanya Allah sahajalah yang menentukan kedudukan kita di akhirat kelak.

11. Niat Baik dan Jahat
Soalan:

Benarkah kalau kita berniat jahat tapi kalau kita tak melakukannya maka kita akan diberi pahala manakala kalau kita berniat baik walaupun kita tak melakukannya kita juga akan beroleh pahala?
Md Rajmir, Seri Kembangan
Jawapan:
Dalam sebuah hadis qudsi, daripada Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila hambaKu bermaksud hendak mengerjakan suatu kesalahan, jangan kamu tuliskan sebelum dikerjakannya dan kalau dikerjakannya tuliskanlah sebanyak kesalahannya. Tetapi kalau tidak jadi dikerjakannya kerana mengingati Aku, tuliskan untuk orang itu suatu kebaikan. Kalau dia bermaksud hendak mengerjakan kebaikan dan belum dikerjakannya, tuliskanlah untuk orang itu satu kebaikan. Tetapi jika sampai dikerjakannya, tuliskanlah pahalanya sepuluh kali lipat, sampai tujuh ratus kali".
(Hadis Riwayat Bukhari)


12. Memutuskan Tali Silaturrahim
Soalan:

Saya ada perselisihan faham dengan seorang kawan. Untuk tidak mahu memanjangkan masalah, saya memohon kemaafan atas dasar ingin menjalinkan semula persahabatan. Tapi kawan saya langsung tidak menunjukkan minat untuk berbaik semula.Adakah dosa saya memutuskan silaturrahim terhapus jika sikap saya telah memohon maaf, tapi tidak dipedulikannya?
Dir, Melaka
Jawapan:
Sebagai seorang Islam, sewajarnyalah kita memohon kemaafan kepada seseorang jika kita telah melakukan kesalahan terhadapnya. Jika kita telah minta maaf terpulanglah kepada orang tersebut, apakah ia ingin memaafkannya atau sebaliknya, kerana selaku manusia kita tidak dapat terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Tapi jangan pula kita memutuskan tali silaturrahim lantaran sikapnya yang acuh tak acuh.
Memutuskan silaturrahim menyebabkan seseorang memperoleh hukuman dengan segera ketika berada di dunia lagi. Sebagaimana  diterangkan dalam sebuah hadis daripada Abu Bakar ra. bahawa baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya di dunia, dan apa yang dipersiapkan Allah baginya di akhirat daripada tindakan kezaliman dan memutuskan hubungan silaturrahim". (HR. Ibnu Majah dan Tarmizi)
Sesungguhnya tidak rugi jika kita sentiasa mempererat tali silaturrahim, kerana ia menyebabkan dilapangkan rezeki dan dipanjangkan umur. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, hendaklah ia memelihara hubungan silaturrahim". (Riwayat Bukhari dan Muslim)


13. Hukum Mandi Berbogel
Soalan:

Assalamualaikum, apakah hukumnya mandi tidak bertutup (berbogel) di dalam bilik yang bertutup?
Ahmad, Alor Setar
Jawapan:
Seseorang yang mandi telanjang di dalam bilik mandi di rumahnya apalagi jika mandi tersebut adalah mandi wajib hukumnya adalah makruh. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud yang menjelaskan Allah SWT itu suka kepada sifat malu, kerana itu apabila salah seorang dari umat Islam mandi, hendaklah ia menutup aurat. Hadis ini menjelaskan aurat kita walaupun di saat keseorangan dituntut supaya kita menutupnya, kerana di waktu itu yang layak kita malu ialah kepada Allah SWT semata-mata. Inilah sunnah Rasulullah SAW yang paling baik untuk kita mengikutinya.

14. Menghindar Gangguan Syaitan di dalam Tidur
Soalan:

Apabila tidur diwaktu malam saya terasa seperti ditindih sesuatu. Benda itu seperti hantu. Adakah betul hantu boleh mengacau manusia semasa tidur dan bagaimana cara untuk menghindarinya?
Niza, Sri Kembangan
Jawapan:
Istilah hantu adalah merupakan istilah yang hanya digunakan oleh masyarakat Melayu sahaja.Dalam bahasa Arab tidak ada istilah hantu. Yang ada ialah istilah syaitan atau jin kafir. Pada asasnya hantu atau syaitan tidak boleh pengapakan manusia kecuali jika ia diizinkan oleh Allah SWT. Di kala itu berlaku hasutannya kepada sesiapa yang menjadi mangsanya.
Cara untuk mengelakkan diri dari gangguan hantu ini khasnya semasa tidur ialah dengan mengamalkan amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada Aisyah RA iaitu dengan membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali, Surah Al-Falaq 3 kali,  dan surah An-Nas sebanyak 3 kali dan kemudian menyapunya ke seluruh badan kecuali kawasan qubul dan dubur. Sebelum tidur hendaklah memgambil wuduk terlebih dahulu. Tidur pula hendaklah mengikut sunnah Rasulullah SAW. Jika gangguan itu datang setelah seseorang itu tidur kemudian ia terjaga, hendaklah ia meludahkan sebanyak 3 kali ke sebelah kirinya sambil membaca: "Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam".

15. Mengelak Dari Mengumpat
Soalan:

Adakah dengan cara berdiam diri itu dapat mengelakkan kita daripada terlibat dalam hal mengumpat sedangkan kita sendiri mendengarnya dan tak terdaya untuk menegur mereka yang melakukannya?
Linda, P Pinang
Jawapan:
Al-Quran menggariskann kepada kita supaya tidak duduk di dalam majlis orang yang membicarakan soal-soal yang buruk. Majlis yang buruk adalah umum di sini, termasuklah majlis mengumpat. Dalam sebuah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh imam Muslim menjelaskan sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah merubah kemungkaran itu dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah dengan lidah dan jika tidak mampu juga hendaklah dengan hati dan itu adalah selemah-lemah iman.
Dalam sebuah hadis yang lain menjelaskan; Orang yang melihat orang lain melakukan kemungkaran sedangkan ia mampu berbuat demikian, tetapi tidak diambil apa-apa tindakan, maka laknat Allah turut  menimpa ke atas dirinya. Dalam kes di atas oleh kerana anda tidak berjaya merubah kemungkaran itu walaupun anda bersama dengan orang yang melakukannya, maka hendaklah anda membencinya di dalam hati. Jika boleh anda hendaklah menunjukkan kerut muka, atau dahi atau kening yang menunjukkan anda sebenar tidak bersetuju dengan perbuatannya itu .
Sayugia diingatkan dosa mengumpat di dalam islam amatlah berat sehinggakan Allah SWT menyamakannya dengan memakan daging saudara sendiri. Anda juga dinasihatkan supaya sentiasa menjauhi dari majlis seumpama ini, supaya anda terselamat dari dosa mengumpat.  

16. Tatatertib di Rumah Allah
Soalan:

Apakah tata tertib ketika berada di rumah Allah seperti ketika masuk/keluar masjid dan sebagainya. Dan apakah sembayang sunat yang dilakukan selepas tamatnya azan selain daripada sembahyang tahiyatul masjid.
Riduan, Singapura
Jawapan:
Seseorang yang memasuki masjid hendaklah melangkah dengan kaki kanan dahulu ke dalam masjid. Sebelum masuk bacalah doa: "Ya Allah Ya Tuhanku Bukalah untukku pintu rahmatMu". Kemudian menunaikan solat tahiyyatul masjid dua rakat. Kemudian duduklah dengan niat iktikaf. Duduklah dengah khusyuk dan tawaduk. Elakkan dari bercakap tentang perkara yang bukan-bukan.
Bacalah Al-Qur'an berzikir dan lain-lain amalan kebajikan asal sahaja tidak mengganggu orang yang sedang solat dalam masjid itu. Ketika hendak keluar bacalah doa berikut "Ya Allah Ya Tuhanku aku mohon kelebihan kurniaan dari Mu" kemudian keluar dengan melangkah dengan kaki kiri terlebih dahulu.
Solat sunat selepas azan ialah solat sunat yang berhubungan dengan azan itu dilakukan. Umpamanya jika azan itu dilakukan untuk solat zohor umpamanya maka kita menunaikan solat sunat zohor dua atau empat raakat itu sahaja. Tidak ada solat sunat yang lain selain dari ini.

17. Menyalahguna Waktu Bekerja
Soalan:

Apakah hukumnya kalau kita menggunakan waktu bekerja (waktu pejabat) untuk membaca buku-buku agama atau buku-buku lain (seperti buku motivasi) atau menghadiri ceramah agama. Walaupun kerja yang dilakukan adalah baik tetapi kita telah menyalahgunakan waktu pejabat yang sepatutnya digunakan untuk menjalankan tugas yang diberi. Apa pendapat ustaz tentang perkara ini. Harap dijawab kemusykilan saya ini?
Siti, Seri Kembangan
Jawapan:
Bekerja diniali sebagai suatu ibadah jika didalam melakukannya dimulai dengan niat yang baik, disamping itu pekerjaan itu sendiri tidak menyalahi dari segi syarak. Biasanya jika kita bekerja pada tempat-tempat tertentu, sebelum memulainya kita telah dimaklumkan bahawa imbuhan atau gaji yang akan kita perolehi itu sesuai dengan kerja yang diberikan oleh pihak syarikat. Oleh sebab itu kita berkewajipan mengisi masa bekerja itu dengan kadar yang seefektif mungkin, sebab setiap masa-masa yang kita tempuh itu akan dibayar sesuai dengan kadar yang ditetapkan.
Bayangkan jika kita mengambil kesempatan dengan membuat aktiviti lain untuk kepentingan diri sendiri, bererti kita telah menyalahgunakan waktu bekerja, sudah tentu diantara jumlah gaji yang kita perolehi ada yang bukan hak kita. Jika ini terjadi, maka hukumnya berdosa, kerana kita tergolong dalam orang yang tidak amanah.
Biasanya hasil yang kita perolehi dari titik peluh dan usaha kita itu akan kita gunakan untuk menyara kehidupan kita dan keluarga. Tentu kita tidak rela melihat keluarga kita menikmati makanan yang bercampur di dalamnya sesuatu yang bukan hak milik kita. Namun jika aktiviti yang kita lakukan itu telah diizin oleh pihak majikan atau dikerjakan pada masa berehat, maka dibolehkan. Yang paling penting tanamkan dan terapkan sifat amanah ini dalam diri agar tidak tergolong ke dalam insan yang derhaka pada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan juga kepada Allah SWT.

18. Perbualan yang Menimbulkan Berahi
Soalan:

Seorang kawan saya telah menolong rakannya melakukan onani melalui perbualan telefon, apakah dia berdosa dan perlukah dia melakukan mandi hadas meskipun tiada sebarang air yang keluar dari kemaluannya?
Ina, Selangor
Jawapan:
Perbualan antara yang bukan muhrim yang dapat menimbulkan perasaan berahi hukumnya haram. Bahkan suara wanita yang diucapkan dengan nada lemah lembut di depan lelaki bukan muhrim dilarang kerana dikhuatirkan akan menimbulkan niat jahat dari orang yang busuk hatinya. Apatah lagi berbual-bual mengenai perkara seks yang sengaja dilakukan agar menimbulkan syahwat, ini sangat jelas dosanya. Tidak perlu mandi, jika tidak keluar mani kerana menghayal atau berangan-angan. Namun wajib mandi walaupun tidak keluar mani bagi yang melakukan persetubuhan. 

19. Peranan Anak Terhadap Ibu bapa
Soalan:

Apakah hukumnya seorang anak yang tidak mahu salam/menerima ayah kandungnya? Saya ada beritahu dia adalah tanggungjawab dia selagi ayahnya masih hidup untuk memberi wang dan sbg. Dan boleh tak ustaz terangkan lebih lanjut tanggungjawab anak terhadap kedua orang tua?
Hamba Allah, Singapura
Jawapan:
Anak wajib menghormati kedua ibu bapanya walau bagaimanapun keadaannya. Kerana sebab mereka berdualah anak dilahirkan di atas dunia ini. Masalah pengabaian  ibu bapa terhadap anak-anaknya itu merupakan tanggungjawabnya yang harus dijawab disisi Allah SWT kelak. Namun sebagai seorang anak betapapun kesalahan orang tua terhadapnya maka ia wajib menghormatinya. Bahkan di dalam Islam mewajibkan seorang anak menghormati dan mengunjungi ibu bapanya meskipun keduanya beragama lain. Adalah lebih baik anak memaafkan kesilapan yang pernah dilakukan oleh ibu bapa terhadapnya, dengan cara demikian anak telah membuka lembaran baru dalam kehidupan keluarganya dan ia tergolong orang yang berbudi luhur bahkan memperoleh keredhaan Allah yang luas. Sesungguhnya keredhaan Allah baru diperoleh anak melalui keredhaan ibu bapa terhadapnya. Seandainya ia derhaka kepada keduanya, maka bencana dan kemurkaan Allah mengiringi kehidupan anak. Jika ini terjadi alangkah ruginya kehidupan anak, oleh sebab itu bukalah pintu hati dan minda untuk menerima segalanya sebagai kenyataan dan garis kehidupan agar kita menjadi insan yang sabar dan pemaaf. Wallahu A'lam.


20. Doa Menghindari Sifat Marah
Soalan:

Kawan saya seorang yang panas baran dan mudah marah. Boleh tak ustaz berikan doa/bagaimana caranya untuk menyabarkan/menenangkan orang yang sedang marah? Doa/amalan untuk menyejukkan hati sendiri yang sedang marah?
Hamba Allah, S'pura
Jawapan:
Kemarahan itu timbul dari gejolak perasaan yang membara, ia bagaikan api yang membakar perasaan. Kemarahan itu juga merupakan dorongan syaitan yang ingin menghancurkan jiwa seseorang, sesungguhnya syaitan itu dari api, dan api akan padam dengan air. Oleh sebab itu jika dalam keadaan marah segeralah mengambil wuduk agar kemarahan menjadi reda. Perbanyakkan istighfar kepada Allah dan selawat keatas Nabi, membaca Al Quran, kerjakan solat dan perkara-perkara yang diperintah dan tinggalkan perbuatan yang dilarang dalam Islam. Dengan cara demikian insya Allah kemarahan akan dapat dihindarkan.
HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 001 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 002 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
DN 089 Hidupkan Batin dengan Berdoa & Berzikir


21. Membalas Jasa Terhadap Keluarga yang Meninggal
Soalan:

Bagaimana dapat dia membalas jasa nenek dan datuknya yang telah meninggal dunia? Secara umum, bila kedua orang tua kita meninggal dunia, selain dari sedekahkan surah Al-Fatihah, apa lagi amalan yang dapat dilakukan?
Hamba Allah, S'pura
Jawapan:
Dalam sebuah hadith ada disebutkan, apabila mati anak Adam, maka putuslah segala amalannya, kecuali tiga perkara. Pertama, sedekah jariah yang pernah diberikannya ketika ia masih hidup, kedua, ilmu yang bermanfaat, ketiga, anak yang soleh yang mendoakan keduanya.
Hanya anak yang soleh yang dapat membantu keluarganya yang telah meninggal dunia dengan cara mendoakan bagi keduanya, atau menyedekahkan harta peninggalannya ke jalan yang diredhai Allah. Insya Allah dengan cara demikian akan membantu mereka yang telah meninggal dunia.


22. Berutus Surat kepada Bukan Muhrim 
Soalan:

Apakah hukumnya seorang lelaki dan seorang perempuan berutus surat?
Iqin, Bayan Baru
Jawapan:
Berkirim surat pada asasnya boleh atau harus, namun jika surat itu mengandung perkara yang menjurus kepada maksiat yang boleh menimbulkan fitnah hukumnya terlarang atau haram. Namun jika untuk kemaslahatan dan untuk kebaikan dibolehkan.


23. Berkasih Sayang Kerana Allah
Soalan:

Bagaimanakah bercinta dan berkasih sayang kerana Allah?
Nik Fasdi, Tokyo
Jawapan:
Banyak hadith yang meriwayatkan tentang keutamaan persaudaraan kerana Allah dan kedudukan yang tinggi bagi mereka yang menjalin persaudaraan kerana Allah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa yang menjalin persaudaraan kerana Allah maka Allah akan meninggikan darjatnya di dalam syurga, tidak condong suatu apapun dalam amalannya".
Berkata Abu Idris Al Khaulani kepada Muaz bin Jabal: "Sesungguhnya aku mencintai anda kerana Allah". Maka Muaz berkata: "Sampaikanlah berita gembira dan bergembiralah. Sesungguhnya aku telah mendengar daripada Rasulullah SAW bersabda: "Suatu kelompok manusia kelak akan memperoleh kursi di sekitar Arsy pada hari kiamat, wajah mereka bagaikan bulan purnama pada malam lailatul qadar, waktu itu manusia terkejut padahal mereka tidak merasa terkejut, dan manusia takut padahal mereka tidak merasa takut, mereka itu adalah Auliya Allah yang tidak pernah takut terhadap mereka (musuh-musuh Allah) dan tidak pernah merasa khuatir". Kemudian aku (Muaz) bertanya: "Siapakah mereka itu ya Rasulullah ?" Baginda menjawab: "Mereka adalah yang berkasih sayang kerana Allah". (Riwayat Ahmad dan Hakim) Persaudaraan dan kasih sayang kerana Allah ini adalah didirikan kerana ingin menegakkan kalimah Allah dan meninggikan asma Allah. Mereka berjumpa kerana menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Mereka mengutamakan kesejahteraan kaum muslimin daripada dirinya sendiri, dan menjaga hubungan persaudaraan itu dengan akhlak yang mulia. Jika konsep persaudaraan kerana Allah ini dapat dilaksanakan oleh umat Islam seluruhnya maka bahagialah umat ini hingga akhir hayat.
Dalam sebuah hadith diterangkan, sesungguhnya Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Allah SWT berfirmaan pada hari kiamat: "Dimana orang-orang yang menjalin rasa cinta kerana Aku ? Hari ini pada saat tidak ada lagi naungan apapun kecuali naungan-Ku, maka akan Aku naungi mereka di bawah naungan-Ku. Ada sebanyak tujuh kelompok dari mereka itu yang mendapat perlindungan Allah di saat tidak ada perlindungan lain pada hari itu kecuali perlindungan-Nya saja.
Sebagaimana diriwayatkan Asy Syaikhani bahawa di antara yang tujuh kelompok itu adalah dua orang yang menjalin cinta kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah. (Ibnu Hibban dan Hakim dari Anas ra)
DN 105 Permata Idaman Mutiara Syurga LELAKI SOLEH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )


24. Bertaubat dengan Sebenarnya
Soalan:

Saya ada satu kemusykilan , bagaimanakah cara yang perlu dilakukan oleh seseorang yang telah melakukan dosa sedangkan pada masa yang sama dia sudah tidak mahu mengulangi lagi perbuatannya tetapi apabila diajak oleh temannya lalu mendorong dia mengulangi kembali perbuatannya itu. Oleh itu, apakah yang patut orang itu lakukan?
Nor, K Bharu
Jawapan:
Ucapan taubat seorang hamba semata-mata tidak boleh dijadikan bukti kesungguhan dalam bertaubat, kecuali dia membuktikan tanda-tanda kesungguhan taubatnya. Diantara tanda-tanda itu:
1.Benar-benar berniat untuk meninggalkan perbuatan dosa dan kembali kepada ketaatan. Inilah tanda bahawasanya dia benar-benar merasa berdosa dan ingin bertaubat kepada Allah SWT.
2. Setelah bertaubat keadaan menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
3. Tidak pernah merasa aman dari seksa Allah walau sekejap pun sepanjang hidupnya, maksudnya, jangan sampai orang yang bertaubat berbuat maksiat dengan keyakinan akan mendapat rahmat Allah. Sungguh tidaklah seseorang merasa aman dari seksa Allah SWT kecuali orang-orang yang merugi yang selalu berbuat maksiat, sehingga apabila ia merasa bersalah dan tidak mempunyai kesempatan untuk berbuat dosa ia menyesal. Penyesalan seperti ini tidak ada ertinya.
4. Benar-benar menyesal, sedih dan merasa rugi atas kelengahannya serta takut akan pedihnya seksa di dunia dan di akhirat. Seringkali kenikmatan nafsu yang sekejap menjadikan sengsara selamanya.
5. Selalu ingat bahawa dirinya pasti akan kembali kepada Allah SWT dan pada bila-bila masa sahaja maut akan datang.
6. Yang paling penting dari tanda-tanda kesungguhan orang bertaubat adalah cinta kepada Allah SWT dan Rasul serta orang-orang muslim dengan berbuat apa-apa yang menunjukkan atas kecintaannya itu.
Bertaubatlah dengan sesungguhnya dan lakukanlah taubat itu setiap saat, banyaklah beristighfar kepada Allah agar terhindar daripada mengulangi perbuatan yang keji dan tercela.


25. Keinginan Mempelajari Ilmu Agama
Soalan:

Saya telah membeli buku dari pihak terbitan tuan iaitu Amalan ketika mengandung & Setelah bersalin serta panduan menamakan Bayi. Namun malangnya dan sedihnya di pihak saya kerana terlalu daif dari segi ugama, membaca bahasa Al-Quran pun merupakan masalah bagi pihak saya. Namun saya berharapdapat mempelajari semula tidak lama lagi. Oleh kerana tidak dapat membaca bahasa Al-Quran, mungkin pihak tuan dapat mencadangkan saya buku yangmempunyai terjemahan didalam sebutan bahasa rumi. Oleh kerana itu, sesudah bersembahyang saya hanya membaca didalam bahasa terjemahan sahaja. Adakah itu diterima Allah. Saya amat berharap agar anak di dalam kandungan saya ini menjadi anak yang soleh, taat kepada Allah, ibubapa dan kejayaan dalam hidup. Insya-Allah saya akan cuba mendekatkan diri dengan Allah sedaya upaya?
Isteri Risau, P Pinang
Jawapan:
Di dalam Islam menuntut ilmu dianjurkan kepada setiap individu semenjak dari buaian hinggalah ke liang lahat, apatah lagi menuntut ilmu-ilmu agama merupakan kewajipan atau fardhu. Nilai ibadah kita akan menjadi sia-sia jika tidak disertai dengan ilmu, kerana amalan tanpa ilmu dianggap taklid buta. Walaupun begitu jika kita sentiasa berusaha dan menanamkan niat untuk mempelajari ilmu agama ataupun mempelajari membaca Al Quran, maka kita telah tergolong orang yang menuntut ilmu dan mencari kebenaran. Jika kita meninggal dunia ketika dalam berusaha mencari ilmu dan kebenaran, maka kematian kita tergolong mati syahid.
Pelajarilah ilmu membaca Al Quran sebelum terlambat, kerana ilmu inilah yang akan membela kita di akhirat nanti, ketika tidak ada seorangpun yang sanggup membantu dan menolong kita. Niat baik puan untuk mempelajari membaca Al Quran itu merupakan niat yang murni dan suci jika ia tumbuh dari lubuk hati yang ikhlas. Untuk peringkat awal mungkin puan boleh belajar dengan menggunakan kaedah "Iqrak" kemudian untuk pemahaman ayat-ayat Quran bacalah erti ayat-ayat tersebut yang terkandung dalam Al Quran terjemahan. Semoga cita-cita puan ingin memiliki anak yang soleh yang dapat mendoakan kedua ibu bapanya terutama setelah meninggal dunia dikabulkan Allah dan mendapat rahmat-Nya, insya Allah.


26. Adab Membawa Al Quran Dalam Perjalanan
Soalan:

Tolong terangkan adab-adab membawa Al-Quran seperti di dalam perjalanan dsb.
Khairul Nizam, JB
Jawapan:
Al Quran merupakan kitab suci yang perlu dihormati dan dijaga dengan baik. Tidak kira ketika di rumah atau dalam perjalanan. Pastikan letakkan Al Quran di tempat yang tinggi sehingga tidak terduduk atau terpijak oleh anak-anak atau kita sendiri. Jika dalam kenderaan letakkan di bahagian atas bukan di bahagian tempat duduk. Usahakan dalam keadaan berwuduk ketika ingin memindahkannya kecuali dalam keadaan kita terpaksa memindahkannya ke tempat yang lebih baik maka ketika itu kita diharapkan dengan segera memindahkannya.



27. Keizinan Ibu Bapa
Soalan:

Apakah hukumnya seorang anak yang mengengkari larangan ibubapa dalam melakukan perkara yang baik. Dalam kes ini saya menyertai satu jemaah dakwah tabligh yang terdapat di negara kita ini. Tiada ajaran songsang di dalamnya, namun saya mendapat tentangan dari mereka untuk menyertainya. Saya tetap dengan pendirian saya walau pun dimarah dan dilarang oleh mereka. Apakah saya menderhakai mereka?
Hidayat, P Pinang
Jawapan:
Termasuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa ialah tidak berjihad kecuali dengan izin mereka. Dalam hadith shahih diriwayatkan dari Abdullah bin Amru ia berkata, seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW meminta izin kepada baginda untuk berjihad. Kemudian Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apakah ayahmu masih hidup ?" Pemuda tersebut menjawab: "Ya". Rasulullah SAW bersabda: "Berjihadlah bagi kedua orang tua". (Riwayat Muslim)
Dalam hadith yang lain disebutkan, orang itu menjawab: "Ya, ku tinggalkan mereka menangis". Rasulullah SAW bersabda: "Pergilah buat mereka tertawa sebagaimana engkau membuat mereka menangis".
Menurut lafaz Bukhari dalam kitab "Birrul Walidain" diberitahukan kepada kami oleh Abu Nuaim, disampaikan kepada kami oleh Sufyan dari Atha' dari As Saib dari ayahnya dari Abdullah bin Amru ia berkata: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW membaiatnya untuk hijrah dan meninggalkan kedua orang tuanya menangis." Rasulullah SAW bersabda: "Kembalilah kepada mereka dan buatlah mereka ketawa, sebagaimana engkau membuat mereka menangis".
Menurut Ibnu Mundzir dalam hadith terdapat larangan pergi tanpa izin kedua ibu bapa, bila tidak ada seruan untuk berjihad menghadapi serangan musuh. Apabila terjadi seruan jihad, semua orang wajib pergi. Diriwayatkan juga membuat kedua orang tua menangis dan membuat sedih keduanya termasuk derhaka. Diriwayatkan dari Ali Karramallahu Wajhahu ia berkata, Bersabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa membuat sedih kedua orang tuanya bererti ia telah derhaka kepada keduanya". (Riwayat Al Khatib)
Dengan ungkapan beberapa buah hadith dan pendapat ulama di atas, mungkin dapat anda simpulkan tentang keadaan anda ketika ini, walaupun niat yang baik namun tanpa keizinan kedua mereka menyebabkan hilangnya keberkatan daripada usaha baik kita tersebut. Apabila berjumpa dua perkara yang baik, maka pilihlah yang terbaik mengikut syarak, jangan pilih yang terbaik mengikut hati dan nafsu.


28. Menanggung Perbelanjaan Ibu Bapa
Soalan:

Saya ingin bertanya masalah dari segi hukum tanggungan. Saya telah beristeri dan mempunyai seorang anak berusia 4 bulan. Dan saya juga merupakan anak sulung dari 5 beradik dan ibubapa saya seorang yang miskin. Sebelum kami berkahwin, saya dan isteri saya telah berjanji akan memberikan sekian2 jumlah kepada ibubapa saya setiap bulan so dengan syarat itu mereka pun bersetuju.Kerana jika saya putus mengirim duit bulanan, ibubapa saya akan menderita dalam menanggung adik beradik saya. So saya kira tempat bergantung mereka.
Masalahnya sekarang, kebetulan kegawatan ekonomi yang melanda, menyebabkan gaji saya dipotong dan pelbagai masalah tetiba aje muncul beberapa bulan akhir2 ini, dengan pula kelahiran cahaya mata
baru menyebabkan kewangan kami agak tersepit. Tapi saya tetap mengirimkan duit bulanan pada parent saya seperti biasa kerana jika terkurang bagi, mereka akan meghadapi kesulitan. Yang menjadi masalahnya sekarang, isteri saya sering merungut kerana dalam kesempitan wang ini, saya tetap mengirim wang pada parent saya sekian2 jumlah. Dia menuduh saya mengabaikan nafkah hidupnya, tapi saya rasakan setakat makan minum seperti orang lain saya tak abaikan. Cuma tak bolehlah berbelanja mewah sikit seperti orang lain.
Pelbagai tomahan yang dilemparkan oleh isteri saya pada saya...katanya saya lebih pentingkan parent saya...so saya ingin meminta pendapat/nasihat daripada ustaz, adakah saya perlu mengurangkan pemberian kepada orang tua saya semata2 supaya kami sekeluarga hidup lebih selesa, padahal saya tahu jika saya bagi kurang dari seperti yang saya bagi, orang tua saya akan mendapat kesusahan. Siapakah yang perlu saya utamakan, tanggungan orang tua atau isteri saya? Saya harap dapat sedikit nasihat daripada ustaz. Terima kasih.
Shamsulaizan, Bukit Jalil
Jawapan:
Hubungan dan tanggungjawab anak lelaki terhadap ibu bapanya tidak akan terputus walaupun ia telah mendirikan rumahtangga. Lainlah halnya bagi seorang wanita bagi mereka setelah bernikah segala aspek kehidupannya haruslah dibawah jagaan dan perhatian suaminya. Walaupun ia berhajat ingin berkunjung ke rumah ibu bapanya sendiri si isteri hendaklah terlebih dahulu meminta izin kepada suaminya. Jika anda yakin bahawa keperluan hidup keluarga terjamin dari segi tempat tinggal dan makanan mereka, maka teruskanlah membantu kedua ibu bapa anda demi kebahagiaan anda sendiri baik di dunia mahupun di akhirat.
Keinginan isteri untuk bermewah-mewah sehingga mengabaikan tangungjawab kita terhadap ibu bapa sendiri adalah merupakan perkara yang tidak terpuji. Adalah lebih baik suami memberikan nasihat secara baik dan hikmah agar ia memahami kedudukan yang sebenar menurut syarak. Maka tugas seorang suami mendidik isteri menjadi wanita solehah dan tidak mengikut kehendak nafsunya secara berlebih-lebihan.
Disini kami kemukakan sebuah hadith yang agak panjang tentang sikap seorang anak lelaki yang melarang bapanya mengambil sedikit hartanya yang terjadi pada zaman Rasulullah SAW. Diriwayatkan dari jabir Ibnu Abdillah ia berkata bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya ayahku telah mengambil hartaku".
Kemudian malaikat Jibril pun turun kepada Rasulullah SAW dan berkata: "Allah Azza Wajalla menyampaikan salam kepadamu. Apabila orang tua itu datang kepadamu maka tanyalah kepadanya tentang sesuatu yang dikatakan dalam dirinya dan hanya di dengar oleh telinga saja". Tatkala orang tua itu datang, Rasulullah SAW pun bertanya: "Mengapa anak lelakimu mengeluh tentang sikapmu, dan apakah engkau ingin mengambil hartanya ?".
Orang tua itu pun berkata: "Tanyalah kepada anak lelaki ku itu ya Rasulullah, apakah aku menggunakannya bagi salah seorang ibu saudaranya atau bagi diriku". Rasulullah SAW berkata: "Janganlah ceritakan hal ini kepada kami, beritahulah aku tentang sesuatu yang engkau ucapkan dalam dirimu dan hanya didengar oleh kedua telingamu". (sesuai dengan perintah malaikat Jibril tadi)
Orang tua itu pun berkata: "Demi Allah, ya Rasulullah, Allah SWT selalu menambah keyakinan kami terhadap diri baginda. Aku telah mengucapkan sesuatu dalam diriku yang hanya didengar oleh kedua telingaku". Rasulullah SAW bersabda: "Katakanlah agar saya dapat mendengarnya". Orang tua itu pun berkata:
"Ku beri engkau makan ketika masih bayi dan ku biayai engkau ketika dewasa.
Engkau minum dari rezeki yang kuberikan kepadamu.
Bila engkau sakit di waktu malam, aku tidak tidur dan gelisah semalaman kerana penyakitmu.
Seakan akulah yang terkena penyakit itu bukannya engkau sehingga akhirnya aku menangis.
Diriku takut jika engkau binasa.
Supaya engkau tahu bahawa maut memiliki waktu tertentu.
Tatkala engkau menjadi besar dan mencapai akhir usia, aku pun tidak mengharapkanmu.
Engkau balas aku dengan kekerasan dan kebengisan, seakan-akan engkaulah pemberi kenikmatan dan kurnia.
Jika engkau tidak memelihara hak aku sebagai seorang bapa cukupah engkau lakukan seperti yang dilakukan tetangga yang berdekatan.
Lalu engkau penuhi hak tetangga terhadapku dan tidak kikir kepadaku dengan harta yang bukan hartamu".
Ketika itu Rasulullah SAW memegang leher baju anak lelaki tersebut dan berkata: "Engkau dan hartamu milik ayahmu".
Dengan hadith diatas maka lebih jelaslah bagi kita betapa penting tanggungjawab anak lelaki terhadap kedua ibu bapa. Jangan jadikan kecuaian isteri dalam memahami perintah agama menyebabkan kita tergolong dalam anak yang derhaka dan tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT, nauzubillahi minzalik.
DN 105 Permata Idaman Mutiara Syurga LELAKI SOLEH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )


29. Memberi Salam Kepada Orang yang Berdosa
Soalan:

Saya merupakan seorang pelajar luar negara. Sekarang nie, kebanyakan rakan2 terutamanya lelaki mengalami masalah akhlak yang boleh juga dikatakan kritikal. Ada diantara mereka yang mengambil dadah (ganja),sudah pandai minum arak dan ada yang menjadikan disko sebagai tempat meluangkan masa malam mereka. Ada juga rakan2 lelaki yang sudah bertindik mengikut budaya remaja di sini. Saya khuatir juga, kerana di tempat kami ni kiranya kawasan pedalaman dan jauh dari pengetahuan pihak2 yang bertanggungjawab ke atas kami (MSD).
Soalan saya:-
1. Bolehkah kita memberi salam kepada mereka2 yang telah minum arak.? Ini kerana ada pendapat yang mengatakan bahawa kita tidak boleh memberi salam kepada mereka kerana mereka ini diibaratkan sebagai orang kafir.?
Eda, Wales, UK
Jawapan:
Orang Islam yang minum arak bererti orang yang melakukan dosa besar dan mereka masih dalam keadaan muslim dan tidak tergolong kafir. Jika ia masih muslim maka menjadi tanggungjawab kita untuk saling bertegur sapa dan mengucapkan salam apabila berjumpa. Moga dengan sikap kita yang baik dan luhur itu dapat merubah keperibadiannya serta mengembalikannya ke pangkal jalan. Kemudian nasihatlah sahabat kita tersebut sebagai tanggungjawab kita memenuhi panggilan amar makruf nahi mungkar. Wallahu A'lam.


30. Melihat Aurat Sejenis
Soalan:

Apakah hukumnya seseorang lelaki itu melihat kemaluan seorang lelaki yang lain? Adakah ianya haram? Tetapi, bagaimana pula sekiranya lelaki tersebut bertujuan untuk mengetahui sama ada kemaluannya normal seperti lelaki lain atau tidak?
Zul, Klang
Jawapan:
Melihat aurat orang lain hukumnya haram tidak kiralah kepada kaum sejenis ataupun sebaliknya. Walaupun begitu melihat aurat kanak-kanak kerana untuk menguruskan kemaslahatnnya tidaklah haram. Bagi seorang lelaki yang ingin mengetahui keadaan atau kemampuan zakarnya kepada orang yang mengetahui seluk beluk perkara tersebut seperti doktor perkara ini dibolehkan. Sebab ia menyangkut aspek kesihatan dan masa depan seseorang.


31. Memohon Kemaafan
Soalan:

Apakah dosa kita boleh dimaafkan sesuai dengan niat kita untuk memaafkan lebih dahulu tanpa harus berjabat tangan dengan orang tersebut?
Rosmiati, Ujung Pandang
Jawapan:
Jika kita memohon kemaafan kepada seseorang kemudian orang tersebut memaafkannya, maka selesailah urusan keamaafan itu meskipun kita tidak berjabat tangan dengannya asalkan hatinya dengan redha memaafkan kita. Begitu juga sebaliknya jika seseorang berbuat salah dengan kita kemudian kita berhajat memaafkannya, maka walaupun tidak berjabat tangan maka kesalahan orang tersebut terhadap kita telah terhapus, asalkan kita benar-benar dengan ikhlas memaafkannya. Wallahu A'lam.


32. Berpacaran Melalui Internet
Soalan:

Saya punya teman wanita yang memperkenalkan saya dengan seorang lelaki hanya melalui internet, mulanya saya sering ngobrol dan bertanya tentang agama, sesuai dengan masalah yang saya hadapi, rupanya mereka juga seorang ustazd disalah satu negara dimana mereka tinggal, dan rupanya orang tersebut juga ternyata masih bujang. Suatu hari teman saya itu bertanya juga mengenai Islam melalui e-mail dan didalam e-mail itu, teman saya itu iseng-iseng menawarkan jasa untuk memperkenalkan saya dengan orang tersebut, dan ternyata orang tersebut ingin sekali berkenalan. Hari-hari berlalu perkenalan saya lancar walaupun hanya melalui e-mail.
Dan tak lama kemudian orang (ustaz) tersebut mengutarakan niatnya untuk ingin berkenalan yang lebih dekat dengan saya atau istilahnya pacaran, walau tak pernah saya bertemu muka dengannya. Tawaran ini saya terima dengan senang hati dengan maksud karena orang tersebut adalah baik akhlaknya dan dapat membimbing saya kejalan yang benar kalau suatu saat Allah mempertemukan jodoh saya dengannya, karena memang itu impian saya untuk mendapat pendamping yang bertaqwa. suatu ketika sewaktu dia ngirim e-mail kesaya dimana dalam e-mailnya ada mengatakan kata sayang, salam rindu atau apa saja seperti layaknya orang yang berpacaran, dan saya pun membalas salam tersebut. Karena saya yakin orang tersebut sangat serius dalam hal ini, dia berniat untuk menemui saya dalam waktu yang dekat ini. Entahlah apa niat selanjutnya, wallahu a'lam.
Pertanyaan:
1. Bagaimana perlakuan saya dalam hal ini menurut ajaran Islam?
2. Apa kata sayang, dan yang semacamnya diperbolehkan sebagaimana apa yang saya masalahkan diatas?
3. Bagaimana saya meyakini keimanan seseorang sementara saya hanya berkenalan melalui internet saja?
Rosmiati, Ujung Pandang
Jawapan:
Rasa cinta dan kasih sayang merupakan fitrah yang tumbuh didalam sanubari manusia bersama lahirnya manusia itu ke dunia ini. Perasaan timbul jika ada rangsangan dari luar, akhirnya kecenderungan itu akan lahir dalam bentuk sikap, reaksi ataupun ungkapan kata-kata. Selalunya ungkapan kata-kata yang berlebihan tentang rasa kasih sayang ini antara lelaki dan wanita akan menimbulkan berahi dan dorongan syahwat yang akhirnya mengundang terjadinya perkara yang dilarang dalam Islam.
Ungkapan rasa cinta dan kasih sayang hanya sesuai dilafazkan bagi mereka yang telah bernikah, namun bagi mereka yang baru berkenalan bahkan hanya melalui internet, maka perkara ini merupakan perbuatan yang sia-sia dan merosakkan fitrah kasih sayang tadi. Jadi batas hubungan antara lelaki dan wanita yang belum menikah ini cukup sekedar ingin mengetahui latarbelakang seseorang yang diingininya tersebut. Apakah ia dari keturunan yang baik atau sebaliknya, apakah ia tergolong subur atau berpenyakit, kemudian apakah ia dari kalangan orang yang berada ataupun sebaliknya dan yang terakhir tentang agamanya, apakah ia tergolong orang yang taat kepada Allah ataupun orang yang lalai dengan hukum-hakam Allah. Perkara yang paling penting dalam memilih pasangan hidup adalah melihat sejauhmanakah calon suami atau isteri kita itu benar-benar menjalankan agamanya, sebab orang yang menjalankan agama dengan baik akan menjadi pasangan yang baik dan diredhai Allah.
Jadi mengucapkan kata-kata sayang dalam internet sama juga mengucapkan kata-kata itu ketika kita sedang berhadapan, jika ucapan itu dengan jelas untuk menggoda dan bahkan menumbuhkan dorongan untuk melakukan perkara yang tidak baik jika bertemu nanti maka perkara ini dilarang dalam agama. Sebaiknya jika benar-benar ikhlas ingin mencari pasangan hidup, boleh berjumpa dengan membawa muhrim dan melihat keadaan pasangan tersebut apakah memenuhi syarat dan kreteria yang  ditentukan agama seperti yang disebutkan diatas. Setelah itu lakukanlah solat istikharah agar pilihan kita itu benar dan diredhai Allah SWT. Wallahu A'lam.