Perfect Your Dream Slideshow: -SIXZEROSIX-’s trip to Kuala Lumpur was created with TripAdvisor TripWow!

Jiwa perubahan



Sebenarnya, dalam kalangan manusia ini ada insan-insan yang memang seakan terpilih untuk melakukan tanggungjawab membaiki masyarakat mereka. Allah bekalkan dalam diri mereka ini jiwa yang besar, keberanian, kesanggupan menghadapi rintangan dan ketidakmampuan berdiam diri melihat kepincangan masyarakat mereka.

Ketika orang lain takut dan tidak sanggup menghadapi reaksi balas masyarakat, atau gagal untuk berfikir ke arah perubahan yang lebih baik, golongan pembaharuan ini tampil membayar harga yang mahal, mengharungi cabaran dan ancaman demi merubah apa yang mereka yakini salah.

Mereka menjadi pejuang yang dalam hayat mereka terpaksa mengharungi pelbagai tribulasi demi misi yang hendak mereka capai. Ada dalam kalangan mereka yang melihat kejayaan semasa hidup, ada yang hanya dikenang setelah mereka tiada lagi di dunia ini.

Golongan ini akan sentiasa wujud untuk menyelamatkan umat manusia. Mereka adalah kurnia Allah untuk kebaikan insan.

Dalam konteks yang lebih luas, pembaharuan bukan sahaja berlaku dalam kalangan umat Islam, tetapi juga berlaku dalam kalangan mereka yang bukan Muslim. Allah takdirkan banyak bangkit para pejuang yang cuba menyelamatkan ketidakadilan dan kekejaman yang berlaku dalam masyarakat mereka.

Tokoh-tokoh seperti Martin Luther, Gandhi, William Wilberforce, Nelson Mandela dan lain-lain merupakan rahmat Tuhan kepada hamba-hamba-Nya. Mereka telah mengorbankan diri untuk menghalang kezaliman ke atas orang lain. Mereka patut dipuji, dikenang dan disanjung.

.: Pengertian daripada sebuah kecelakaan

.: Pengertian daripada sebuah kecelakaan: JALA SIMPATI                                                                                    Sudah hampir 35 jam kehilangan dari radar...

Kenapa Allah temukan kita dengan orang yang salah?


Memang sakit bila cinta yang kita dambakan selama ini tak dihargai oleh insan yang bernama kekasih, apatah lagi kita dibuang begitu saja. Tapi, itulah juga petanda terbaik untuk diri dan kehidupan kita pada masa akan datang.


 1. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya apabila kita bertemu jodoh yg sebenar, masih ada rasa syukur kita pada ketentuan-Nya.

 2. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita dapat menjadi penilai yang baik.

 3. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita sedar bahawa kita hanyalah makhluk yang sentiasa mengharapkan pertolongan Allah.

 4. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita dapat kasih sayang yang terbaik, khas untuk diri kita.

 5. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita sedar bahawa Allah Maha Pemurah dan Penyayang kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yang hebat untuk kita dan kehidupan kita pada masa depan.

 6. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita dapat mengutip pengalaman yang tak semua orang berpeluang untuk mengalaminya.

 7. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita jadi manusa yang hebat jiwanya.

 8. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita lebih faham bahawa cinta yang terbaik hanya ada bersama Allah.

 9. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya kita lebih mengenali kehidupan yang tak selamanya kekal.

Wahai sahabat yang kecewa, menderita dan sengsara kerana cinta, fahamilah bahawa kehidupan kita makin sampai ke penghujungnya.

Hari esok pun kita sendiri tak pasti sama ada menjadi milik kita. Gapailah keredhaan Allah dengan melaksanakan suruhan-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya..

Percayalah sesungguhnya Allah malu untuk menolak permintaan hamba-Nya yang menadah tangan meminta dengan penuh pengharapan hanya kepada-Nya..

ALLAH knows BEST!

Kerajaan di penghujung hayat

Kerajaan di penghujung hayat adalah kerajaan yang telah zahir padanya tanda-tanda keruntuhan. Banyak petanda bahawa sesebuah kerajaan itu menuju kepada penghujungnya. Antara tanda yang jelas apabila negara sudah tidak terkawal dengan terlalu banyak konflik berlaku sesama rakyat. Kerajaan kelihatan bersikap tidak tolerance dan dibenci oleh banyak puak dan pihak yang merasakan mereka tertindas ataupun hak mereka diketepikan dalam negara sendiri. Kebencian merayap dan keinginan rakyat untuk keadaan itu dihapuskan membuak-buak. Akhirnya rusuhan dan pergaduhan kaum dan puak mula tercetus.

Jika kita lihat dalam sejarah, kejatuhan empayar dan dinasti ialah bermula apabila mereka bersikap tidak tolerance sehingga dalam negara berlaku banyak konflik antara rakyat. Kerajaan bersifat kepuakan dan gagal menaungi inspirasi rakyat yang pelbagai. Politik pecah perintah mungkin menguntungkan golongan politik tertentu untuk sementara waktu, tetapi akhirnya akan menjadikan negara porak peranda.
Firaun mengamalkan politik yang sama yang akhirnya menjatuhkan kerajaannya yang penuh bersejarah. Firman Allah: "Sesungguhnya Firaun telah melampau di bumi (Mesir), dan dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas satu puak kalangan mereka dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya dia dari golongan yang membuat kerosakan. Dan Kami (Allah) hendak memberikan kurnia kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan Kami (Allah) hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (peninggalan Firaun)." (Surah al-Qasas ayat 4-5).

Malaysia 

Jika kita lihat keadaan negara ini, kita dapati telah lahir ciri-ciri negara ataupun kerajaan di penghujung hayat. Negara ini sejak kebelakangan ini penuh dengan konflis yang memecah belahkan antara rakyat. Konflik antara agama dalam pelbagai isu yang mana kerajaan kadang-kala mengambil pendekatan yang kurang seimbang. Golongan agama rasmi pula dibiarkan memilih pandangan-pandangan yang bersifat yang tidak sesuai serta sempit untuk masyarakat majmuk. Bermula dari isu larangan orang bukan Muslim masuk masjid sehingga ke isu kalimah Allah kelihatan ditangani dengan nada yang mencetuskan ketegangan antara rakyat. Kenyataan-kenyataan yang bersifat provokasi seakan mendapat tempat dalam media rasmi negara.
Demikian isu-isu perkauman dibangkitkan dalam pelbagai rupa. Golongan yang bersifat rasis memainkan peranan mereka. Sebelum pilihanraya kita lihat isu-isu agama dan kaum yang bersifat provokatif serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan rusuhan seakan digalakkan. Kemudian selepas itu, dipanaskan dengan isu-isu mazhab dan aliran fikir dalam Islam. Pegawai KDN yang sepatutnya bertugas menjaga kedamaian negara, bertindak bagaikan batu api yang boleh mencetuskan kebencian dan salah sangka rakyat terhadap kerajaan.

Golongan agamawan bergaji dan tidak bergaji, dihasut oleh beberapa orang dari aliran pengkafir umat iaitu Ahbash yang dalam rekod mereka telah berjaya menimbulkan ketegangan mazhab dan pertumpahan darah di Lebanon sehingga membawa pembunuhan antara aliran di sana. Kini mereka meresap ke dalam negara ini.
Kerajaan tidak boleh terbabit dengan perbalahan aliran fikir. Kerajaan dalam era dunia terbuka hari ini hendak bersifat penaung yang melindungi kebebasan setiap rakyat dengan syarat tidak menggugat keamanan awam. Kerajaan yang matang dan demokratik akan menangani perbezaan rakyat dengan cara yang bijaksana. Kerajaan hendaklah tahu apabila kita mengiktiraf kewujudan sesuatu aliran, bukanlah bererti kita mengakui kebenarannya. Jangan keliru antara mengiktiraf kebenaran di sudut akidah ataupun fekah, dengan mengiktiraf hak kewujudan di sudut politik. Kita mungkin tidak mengiktiraf kebenaran agama dan aliran tertentu, tapi kita mengiktiraf kewujudan dalam negara selagi mereka mematuhi undang-undang negara.

Kepelbagaian 

Kebenaran itu boleh menjelma dalam pelbagai ungkapan sekalipun berbeza-beza puak dan aliran. Sebahagian perbezaan itu hanyalah pada cara ia dibahaskan tetapi natijahnya sama iaitu menuju kepada kebenaran. Kerajaan tidak boleh terikut-ikut dengan golongan fanatic perkauman ataupun aliran yang mencetuskan huru-hara antara rakyat disebabkan perbezaan ungkapan dan ucapan, padahal maksudnya sama.

Saya tertarik dengan kisah tokoh besar ilmu kalam iaitu al-Imam Abul Hasan al-Ash'ari (meninggal tahun 330H) yang dinobatkan sebagai benteng Ahlus Sunnah wal Jama'ah dalam menghadapi serangan falsafah. Kata al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) meriwayatkan daripada Zahir bin Ahmad al-Sarakhsi kisah akhir hayat al-Imam Abul Hasan al-Asy'ari: "Apabila ajal menghampiri Abul Hasan al-‘Asy'ari di rumahku di Baghdad, beliau memanggilku. Aku pun datang. Beliau berkata: 'Aku bersaksi bahawa aku tidak mengkafirkan seseorang pun dalam kalangan ahli Kiblat (mereka yang bersolat). Ini kerana setiap orang menuju kepada Tuhan Yang Satu Yang Disembah. Hanya semua ini (perbezaan yang ada) adalah perbezaan ungkapan semata'.

Kemudian al-Imam al-Zahabi menyebut: "Demikian juga guru kami Ibn Taimiyyah pada akhir hayatnya berkata: "Aku tidak mengkafirkan seseorang pun dari umat ini. Nabi SAW bersabda: "Tiada menjaga wuduk melainkan seorang mukmin", maka sesiapa yang melazimi solat dengan wuduk maka dia muslim." (Siyar A'lam al-Nubala, 15/88. Beirut: Muassasah al-Risalah) 

Remeh temeh

Kemudian, isu-isu remeh digunakan dalam untuk menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Kuasa agama cuba diheret bersama. Penguasa seakan membiarkan kekalutan ini. Label-melabel dijadikan mainan yang dicampur kuasa pentadbiran. Sebahagian golongan intelek Melayu dilebelkan sebagai liberalist dan diancam dengan kuasa politik. Ada yang dilabel wahabi dan digunakan kuasa pentadbiran.
Untuk membincangkan masalah theology dalam kalangan intelek tidak mengapa. Namun campur tangan kuasa politik dan kuasa agama serta kesempatan yang ambil oleh pihak yang berkepentingan, boleh mencerumuskan negara ke dalam kegawatan.
Hendaklah kita tahu dalam sejarah golongan agama sama ada Yahudi, Kristian dan juga Islam mereka sering mengambil pendekatan memfitnah orang yang berbeza dengan mereka dan mencari penguasa untuk menghukum lawan ataupun pesaing mereka. Ini kerana golongan agama - kecuali yang ikhlas - sering mengumpulkan pengaruh seperti yang dilakukan oleh orang politik dan rela mempertaruhkan apa sahaja untuk survival pengaruh mereka. Rela membunuh dan menyeksa pihak yang berbeza. Inilah yang dilakukan terhadap al-Imam al-Syafi'i, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Dalam sejarah agama Kristian inilah yang berlaku terhadap Martin Luther dan aliran Protestan.
Di satu sudut yang lain, golongan agamawan jenis ini menyibukkan diri dalam isu-isu remeh yang tidak memberikan banyak manfaat kepada rakyat seperti isu qunut subuh ataupun tidak. Padahal itu hanya perkara sunat dalam mazhab Syafi'i. Demikian juga dianggap Wahabi mereka yang mereka solat tarawih lapan rakaat. Padahal rakyat Malaysia yang solat lapan rakaat tarawih bukan kerana Wahabi ataupun tidak. Saudi yang dikatakan Wahabi itu solat 20 rakaat. Di mana Wahabinya? Itu berdasarkan keadaan masing-masing. Patutnya golongan ustaz ini sibuk dengan yang langsung tidak solat.
Malangnya dalam masa yang sama, ramai golongan agamawan berjawatan ini tidak pula menyibukkan diri dengan isu-isu masyarakat yang penting untuk rakyat seperti pandangan Islam tentang ketelusan, rasuah, cukai, isu-isu yang dibangkitkan oleh audit negara, pembaziran dalam kerajaan-kerajaan negeri dan pusat, soal social justice dan pelbagai lagi yang sangat penting dalam Islam.

Konflik

Hasilnya, negara terjerumus dalam konfliks tidak berfaedah. Dari satu konflik kepada satu konflik. Ia menafikan sifat negara yang mahu maju ke hadapan. Ia hanya memesongkan rakyat dari isu-isu penting yang lain dan mengheret mereka kepada pergaduhan sesama sendiri. Dalam satu keadaan mungkin pemerintah beruntung kerana rakyat tidak tertumpu kepada menilai pemerintah kerana sibuk dengan isu pinggiran. Namun dalam jangka tertentu ketegangan boleh membawa kebencian dan seterusnya ketidaksetiaan kepada negara mungkin boleh berlaku.
Maka, kini negara kelihatan berselerakan. Badan-badan agama sibuk mencari isu-isu perbezaan bukan nilai-nilai persamaan untuk diambil manfaat antara rakyat. Orang politik tumpang sekaki. Slogan 1Malaysia yang meraikan perbezaan dan menghidupkan kesatuan antara rakyat menjadi slogan kosong yang tidak bermakna.

Akhirnya kelompok-kelompok minoriti walaupun berbeza antara satu sama lain, tetapi bersatu atas satu asas iaitu membenci kerajaan dan pengurusan kerajaan yang ada. Lalu mereka menjadi majoriti. Jika mereka itu terlebih ekstrim, mereka mungkin mencari jalan menimbulkan ketegangan balas. Golongan muda dan berminda terbuka menganggap kerajaan ini tidak layak mengepalai politik yang sederhana dan bersikap terbuka serta adil dalam penilaian. Kelompok berpendidikan dan moderate inginkan keharmonian dan keadilan untuk semua. Maka kerajaan ini menjadi makin tidak popular dalam kalangan cerdik pandai yang menjadi tulang belakang negara. Negara pun mula reput, kedamaian mula diragut dan berada di penghujung hayatnya.


Tahukah anda? Bilakah Hari Al-Quds?


Memperingati Al-Quds, membangkitkan hamasah ummah! [AK]

"Satu peristiwa yang amat mengguris hati umat Islam di seluruh dunia berlaku pada 21 Ogos 1969 apabila seorang pelampau Yahudi telah membakar Masjid al Aqsa. Kesan dari pembakaran ini menyebabkan kemusnahan yang besar dan kerugian yang tidak dapat ditaksir dengan wang ringgit."
Hari ini dalam sejarah | Hari al Aqsa | 21 Ogos 1969 | (Remembrance of al Quds)

Hari al-Aqsa disambut secara rasmi oleh kerajaan Malaysia pada 21 Ogos setiap tahun. Apakah latarbelakang atau peristiwa yang melatari 21 Ogos sehingga tarikh itu dipilih sebagai hari al-Aqsa? Rencana ini akan melihat secara retrospek apakah signifikannya 21 Ogos yang pernah diraikan secara rasmi oleh kerajaan dan rakyat Malaysia terutama pada tahun-tahun 70’an dan awal 80’an.

Sebagaimana yang kita sedia maklum Malaysia adalah antara negara yang sangat vokal di dalam menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin semenjak berlakunya pengusiran penduduk Palestin dari tanah air mereka pada tahun 1948 dengan berdirinya negara haram Israel dan pencerobohan ke atas Masjid al- Aqsa serta penaklukan Baitul Maqdis dan Tebing Barat pada tahun 1967 oleh regim Zionis Israel. Malah sebelum dan sejurus mencapai kemerdekaan lagi negara Malaysia telah mempamirkan rekod keprihatinan yang amat membanggakan di dalam perjuangan membela rakyat Palestin meski tanah air sendiri masih lagi bergelut dengan pelbagai masalah dalaman dan luaran, termasuklah gugatan Malayan Union, ancaman Komunis, dan kebangkitan untuk mencapai kemerdekaan dari penjajahan British. Sejarah telah membuktikan bahawa seorang tokoh pejuang kemerdekaan yang tersohor iaitu Ustaz Abu Bakar al Baqir telah menggerakkan satu inisiatif yang diberi nama MATA (Majlis Agama Tinggi) pada tahun 1947 yang antara lain turut memberi tumpuan kepada isu-isu antarabangsa umat Islam khususnya pejuangan rakyat Palestin dan Pattani yang tertindas.

Di samping itu perbahasan dalam Dewan Rakyat juga telah merakamkan penegasan prinsip yang digariskan oleh Professor Zulkifli Muhammad di dalam menentukan sikap terhadap pengiktiran entiti zionis Israel. Prof Zulkifli Mohamed mempersoal asas Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ketika itu yang mengiktiraf negara Israel atas alasan ianya lahir dari ketetapan PBB 181 yang diterima pada tahun 1947 dengan sempadan yang terbentuk oleh The Rhodes armistice pada tahun 1949. Walaupun kerajaan Perikatan memberi justifikasi pengiktirafan itu tidak bermakna Persekutuan Tanah Melayu akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, pengiktirafan itu sendiri sudah cukup untuk memberi dokongan moral kepada entiti haram Israel. Tidak bermakna PBB mengakui negara Israel maka kita tidak punya pilihan dan terpaksa turut mengiktiraf sebuah negara yang didirikan dengan menafikan hak rakyat asal Palestin, meskipun proses pengiktirafan itu dibuat melalui badan dunia tersebut.

Untuk mengukuhkan hujah-hujahnya, Profesor Zulkifli Muhammad meletakkan persoalan asas berdirinya negara Israel itu. Apakah ia mempunyai hak untuk menubuhkan negara ‘Zionis’ di atas wilayah Palestin. Meskipun ia sudah tertubuh dan diakui oleh PBB, itu tidak menjawab soalan samada ia mempunyai hak atau sebaliknya. Bagaimana mungkin satu bangsa mengambil alih sebuah negara dari penduduk asalnya dan mendakwa ia berhak untuk mendirikan negara Israel di sana. Oleh itu, hujah beliau “…dengan tidak adanya hak asasi yang kuat (untuk penubuhan negara Israel), maka tidaklah adanya keadaan (de facto) itu membolehkan kita dengan sendirnya menganggap negara itu sah.”

Pada persidangan PBB pada tahun 1964, Malaysia melalui inisiatif sendiri telah mengemukakan deraf resolusi (A SPC/L. 116) yang menggesa supaya suatu wakil rasmi (custodian) dilantik bagi pengurus hartanah pelarian di bumi Palestin yang terjajah. Wakil Malaysia berhujah bahawa tuntutan ini adalah selari dengan hak asasi di mana tidak ada sebab kenapa rakyat Palestin yang terusir tidak punya hak untuk menguruskan hartanah (samada rumah dan tanah) yang mana mereka dipaksa keluar oleh penjajah Israel. Menafikan hak rakyat Palestin dalam hal ini adalah merupakan satu diskrimasi agama dan kaum yang bertentangan dengan Piagam PBB dan prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa. Sebagaimana yang diduga deraf ini ditentang oleh Israel. Dalam mempertahankan tuntutan tersebut, wakil Malaysia menegaskan bahawa ’persoalan kedaulatan Israel wajib dilihat dalam konteks prinsip-prinsip antarabangsa dan tanggungjawab yang diletakkan di atas entiti tersebut ketika ianya dilahirkan oleh resolusi PBB. Jika Israel enggan untuk melaksanakan tuntutan ini maka adalah menjadi tanggungjawab Persidangan Agung PBB memaksa Israel melakukannya.’ Pada bulan April 1969, atas inisiatif Kuala Lumpur, 23 buah negara Islam bertemu di ibu negara di dalam Konferens Islam Antarabangsa. Konferens ini meluluskan beberapa resolusi iaitu (1) mengutuk Israel kerana merampas wilayah Arab dan Palestin termasuk Baitul Maqdis Timur dalam pencerobohan pada tahun 1967, dan (2) menggesa negara-negara Islam mengadakan sidang kemuncak bagi menangangi keadaan yang amat genting natijah dari pencerobohan Israel dan kesannya ke atas Baitul Maqdis dari pelbagai aspek. Inisiatif yang dimulakan oleh Kuala Lumpur ini boleh dianggap sebagai langkah awal ke arah penubuhan OIC (Organization of Islamic Conference).

Kemudian satu peristiwa yang amat mengguris hati umat Islam di seluruh dunia berlaku pada 21 Ogos 1969 apabila seorang pelampau Yahudi telah membakar Masjid al Aqsa. Kesan dari pembakaran ini menyebabkan kemusnahan yang besar dan kerugian yang tidak dapat ditaksir dengan wang ringgit. Selain dari beberapa peninggalan sejarah yang tidak ternilai musnah dijilat api seperti mimbar yang telah digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi sejak 700 tahun yang lalu, lebih penting lagi umat Islam merasa tercabar kerana Masjid ketiga paling suci dalam akidah umat Islam cuba dimusnahkan oleh tangan-tangan jahat zionis yang telah lama menyusun strategi untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan merampas tapak masjid untuk mendirikan rumah ibadat mereka (Haikal Sulaiman). Perbuatan pelampau Yahudi yang bernama Michael Dennis Rohan berbangsa Australia ini bukanlah satu perbuatan persendirian yang terpencil. Malah ia merupakan satu konspirasi yang dirancang sebegitu rapi oleh ketua-ketua agama Yahudi yang fanatik dan pendatang Yahudi yang bersekongkol dengan regim zionis untuk mengancam dan memusnahkan Masjid al Aqsa. Konspirasi ini amat jelas apabila penduduk Arab yang berada berhampiran masjid dibiarkan untuk memadamkan api yang sedang marak dengan menimba air dan memadamkan sendiri kebakaran dengan bantuan dari perkhidmatan bomba Jordan dari Ramallah, al-Khalil dan Nablus tanpa sebarang bantuan dari pehak berkuasa Israel. Michael Dennis dibicarakan atas percubaan membakar al Aqsa, tetapi diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak siuman. Kejadian ini mengingatkan kita kepada pembunuhan yang berlaku di masjid Ibrahimi (Hebron) beberapa tahun lalu. Pelampau zionis ini juga dibicarakan dan mahkamah Israel memutuskan beliau juga tidak siuman. Samada Michael Dennis siuman atau tidak yang pasti satu laporan rasmi yang diterbitkan dalam akhbar Yediot Aharanot bahawa kuil Yahudi akan didirikan di tapak Masjid al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 dan laporan itu terbit pada 18 Ogos, tiga hari sebelum berlakunya kejadian pembakaran ke atas Masjid al Aqsa.

Tindakan jahat ini telah mencetuskan satu inisiatif yang digerakkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj (mantan Perdana Menteri Malaysia), Raja Faisal Arab Saudi dan Raja Hassan II, Maghribi untuk mengadakan sidang kemuncak negara Islam di Rabat dari 22 hingga 25 September 1969. Sidang kemuncak ini memutuskan resolusi untuk menyatukan seluruh negara-negara Islam ke arah memastikan pengunduran Israel dari wilayah Palestin yang diduduki natijah dari perang 1967. Satu resolusi juga menegaskan bahawa sebarang penyelesaian Palestin yang tidak menjamin kedudukan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin sebagaimana statusnya sebelum tahun 1967 akan ditolak oleh negara-negara Islam. Sehubungan dengan itu sebuah sekretariat ditubuhkan di Jeddah dan Setiausaha Agung (Sekretary General) yang pertama diberi kepercayaan dan penghormatan ialah YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Dengan ini rasmilah penubuhan OIC seperti yang diketahui pada hari ini. Sebaik selesai sahaja sidang kemuncak di Rabat, YTM Tunku Abdul Rahman bergegas ke Persidangan Agung PBB pada 7 Oktober 1969 sebagai mewakili ketua-ketua negara Islam bagi menegaskan semula kedudukan isu Palestin. Persoalan Palestin yang telah dikeluarkan dari agenda Persidangan PBB sejak tahun 1952 telah kembali diiktiraf oleh PBB hasil dari desakan dan aspirasi ketua-ketua negara Islam yang diungkapkan dengan penuh meyakinkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman di dalam persidangan PBB sesi yang ke 23 tersebut Persidangan Agung PBB kemudiannya merubah perspektif mereka terhadap isu Palestin dengan mengiktiraf rakyat Palestin sebagai penduduk yang mempunyai hak di bawah Piagam PBB. Kedudukan rakyat Palestin yang terusir dari tanah air mereka dan hak mereka yang tidak boleh diganggu gugat ini terjamin di bawah Resolusi PBB 2535B (XXIV) yang diterima oleh Persidangan Agung PBB pada 10 Disember 1969. Sumbangan dari YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj wajar dirakamkan sebagai batu tanda yang penting dalam perjuangan umat Islam di persada antarabangsa dalam isu pembelaan ke atas rakyat Palestin.

Ikrar dan tekad yang disuarakan sejak sidang kemuncak Rabat pada tahun 1969 terus dihayati oleh kerajaan Malaysia dan rakyatnya sejak 21 Ogos 1969 sebagai Hari al-Aqsa ataupun kini dikenali dengan lebih populor sebagai ROQ (Remembrance of al Quds). Demi memperbaharui komitmen Malaysia terhadap hari al-Aqsa maka setem-setem memperingati tarikh penting ini telah dikeluarkan pada tahun 21 Ogos 1978 dan sekali lagi pada tarikh yang sama pada tahun 1982. Berdasarkan kepada rekod sokongan dan solidariti rakyat Malaysia yang amat membanggakan ini maka adalah wajar bagi kerajaan Malaysia menghidupkan kembali hari al-Aqsa pada hari ini. Pengistiharan melalui pengumuman di dalam media massa cetak dan elektronik adalah suatu yang boleh menyemarakkan semula hari al-Quds. Dengan cara ini maka kesedaran rakyat Malaysia untuk membantu rakyat Palestin yang terus terjajah dan tertindas terutama dengan kepungan dan serangan biadap yang berlaku ke atas Gaza awal tahun ini akan terus bersemarak. Ia juga akan membangkitkan kesedaran dan dhamir umat Islam untuk membantu saudara-saudaranya di Palestin terutama dengan kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak yang penuh keberkatan yang kebetulan jatuhnya pada tarikh yang sama pada tahun ini.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE (Pusat Kecemerlangan Palestin)

TITIP RINDU BUAT AYAH


Di matamu masih tersimpan
selaksa peristiwa
Benturan dan hempasan terpahat
di keningmu

Kau nampak tua dan lelah,
keringat mengucur deras
namun kau tetap tabah hmm ...

Namun semangat tak pernah pudar
meski langkahmu kadang gemetar
kau tetap setia

Di matamu masih tersimpan
selaksa peristiwa
Benturan dan hempasan terpahat
di keningmu

Kau nampak tua dan lelah,
keringat mengucur deras
nnamun kau tetap tabah hmm ...

Meski nafasmu kadang tersengal
memikul beban yang makin sarat
kau tetap bertahan

Engkau telah mengerti hitam
dan merah jalan ini
Keriput tulang pipimu
gambaran perjuangan

Bahumu yang dulu kekar,
legam terbakar matahari
kini kurus dan terbungkuk hmm ...

Namun semangat tak pernah pudar
meski langkahmu kadang gemetar
kau tetap setia

Ayah, dalam hening sepi kurindu
untuk menuai padi milik kita
Tapi kerinduan tinggal hanya kerinduan
Anakmu sekarang banyak menanggung beban

Engkau telah mengerti hitam
dan merah jalan ini
Keriput tulang pipimu
gambaran perjuangan

Bahumu yang dulu kekar,
legam terbakar matahari
kini kurus dan terbungkuk hm...

Namun semangat tak pernah pudar
meski langkahmu kadang gemetar
kau tetap setia

REFORMASI RAKYAT ..

Deru perubahan menggema menggelora,
Sebagai tuntutan dan juga kebutuhan,
Kini perubahan jadi kesepakatan,
Di segala bidang dan sendi kehidupan,
  

Marilah kita benahi pangkuan Ibu Pertiwi,
Dari segala kotoran sampah pembangunan,
Marilah kita mulai membersihkan jiwa ini,
Dari ketidakjujuran dan kemunafikan,


Kini semua kita bersatu dalam kata perubahan (Era perubahan),
Merubah kemapanan menuju perbaikan bagi bangsa(Adil sejahtera),
Janganlah perubahan menjadi kemunduran salah kaprah (Jadi salah kaprah),
Cegahlah kerusuhan yang akan merugikan kita semua (Jangan tambah susah).

                           # 'Membujur Lalu,Melintang Patah'   
~ MNH

Antara cinta tanah air & cinta penguasa

Hadis ‘Cintakan tanahair itu daripada iman' tidak sahih. Bahkan ia hadis maudu' (palsu). Ini dinyatakan oleh al-Saghani (meninggal 650H/1252M) dalam karyanya al-Maudu‘aat. Ini dipersetujui oleh para ilmuwan ulung hadis seperti yang disebut oleh ‘Ali al-Qari dalam bukunya al-Masnu' fi Ma'rifat al-Hadith al-Maudu'.

Walaupun hadis ini palsu (fabricated) dari sudut kesabitannya (authenticity) daripada Nabi Muhammad SAW, namun ada tokoh seperti Muhammad Tahir al-Fatani (meninggal 986H/1578M) dari India dalam karyanya Tazkirah al-Maudu‘aat menyatakan dari sudut maksud ataupun isi kandungannya benar.

Dalam kata lain menurut pendapat beliau, hadis ini memang tidak sabit daripada Nabi SAW, tetapi kandungan maksud yang terdapat dalam teks itu benar. Ertinya, cinta tanahair itu termasuk dalam iman.

Pun begitu, sarjana hadis lain seperti Muhammad Nasir al-Din al-Albani memberikan komentar yang berbeza. Dalam karyanya Silsilah al-Da'ifah wa al-Maudu'ah, beliau menyebut:

"Makna hadis ini tidak betul. Ini kerana cintakan tanahair sama seperti cintakan nyawa, harta dan seumpamanya. Semua itu sudah wujud dalam jiwa insan. Tidak dipuji kerana mencintainya, tidak juga ia termasuk dalam kelaziman iman. Tidakkah engkau lihat semua manusia berkongsi cinta tersebut? Tiada beza antara yang mukmin dan yang kafir" (1/110. Riyadh: Maktab al-Ma'arif).

Fitrah

Pendapat al-Albani ini benar dari satu sudut bahawa ia sesuatu yang termasuk dalam gharizah iaitu tabiat semulajadi insan ataupun fitrah. Namun menyatakan ia tidak terpuji adalah sesuatu yang kurang tepat. Islam memuji manusia yang hidup berpegang kepada fitrah.
Sayang harta yang mengelakkan pembaziran dipuji dalam Islam. Sayang nyawa yang menghalang kemusnahan diri diperintahkan oleh al-Quran. Pembaziran dan pemusnahan jiwa diharamkan. Sudah pasti cinta tanahair yang menghalang kerosakannya sesuatu yang dipuji.

Sesuatu yang sama antara Muslim dan non-Muslim bukan bererti tidak dipuji dalam Islam. Menyayangi anak-anak dan ibubapa sesuatu yang dikongsi oleh Muslim dan bukan Muslim. Ia terpuji. Menghilangkan bahaya di jalanan, termasuk dalam cabang iman.
Orang bukan Muslim juga melakukannya. Walaupun untuk mereka ia tidak termasuk dalam iman tetapi mereka juga melakukannya. Ia sesuatu yang terpuji. Persamaan tidak menafikan kebaikan. Pandangan al-Albani di sini kurang kemas untuk diterima.

Kasih Nabi Muhammad SAW

Apa yang saya hendak sampaikan, betapa kecintaan kepada tanahair adalah sesuatu yang terpuji. Ia termasuk dalam fitrah insan untuk mencintai tanahairnya. Nabi Muhammad SAW pun cintakan tanahairnya iaitu Mekah.

Apabila dihalau oleh penduduk Mekah, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat terpaksa berhijrah ke Madinah. Para sahabat termasuk Bilal bin Rabah yang merupakan seorang hamba abdi ketika di Mekah, demam merindui Mekah. Apatah lagi Abu Bakar al-Siddiq yang merupakan bangsawan Mekah. Apabila Nabi SAW mengetahui keadaan itu, baginda berdoa:

"Ya Allah! Jadikanlah cinta kami kepada Madinah seperti cinta kami kepada Mekah, ataupun lebih dari itu" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengucapkan untuk Mekah: "Alangkah indah engkau (Mekah) sebuah negara. Alangkah sayangnya daku kepadamu. Jikalau tidak kerana kaumku menghalau daku keluar darimu, aku tidak akan menetap selain darimu"(Riwayat al-Tirmizi, sahih).

Sekalipun Nabi SAW terpaksa bertempur dengan pasukan tentera Mekah yang dikuasai rejim Quraish yang zalim, itu tidak pernah mematikan rasa kasih dan sayang kepada tanah air baginda iaitu Mekah.

Demikianlah juga perasaan para sahabah yang terpaksa berhijrah meninggalkan Mekah yang mereka kasihi. Fath al-Makkah ataupun Pembukaan Mekah di mana Nabi SAW kembali mengambil alih Mekah dengan kuasa tentera bersama orang lain dari luar, adalah kemuncak kecintaan kepada Mekah. Mereka membersihkan Mekah dari kesyirikan, kezaliman, penindasan dan selainnya. Itu tanda kasih mereka kepada Mekah.

Patriotik

Kasihkan watan adalah sesuatu yang fitrah. Orang Melayu bermadah ‘tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain'. Tanahair ialah tempat kelahiran kita dan keluarga. Membesar dalam persekitarannya. Mencium udaranya. Meminum airnya. Memakan makanannya. Melihat budaya, warna dan rupa saban masa dalamnya.
Lebaran kenangan diari kehidupan yang tersimpan tentangnya. Jiwa yang normal pasti akan menghargai dan mengasihi. Sayang dan ingin membelanya dari kerosakan. Itu makna patriotik yang sebenar.

Perlu diingat, semangat sayang dan kasih kepada tanahair tidak berkaitan dengan kecintaan kepada kuasa politik yang menguasainya. Orang Pulau Pinang yang sayangkan Pulau Pinang tidak semestinya sayangkan pemerintahannya, demikian Kelantan, Terengganu, Kedah dan lain-lain.

Orang Malaysia sayangkan watan ini, cintakan tanah tumpah darah ini tidak semestinya bersetuju ataupun mencintai kuasa politik yang memerintah di dalamnya. Perlu dibezakan antara semangat patriotisme dan nationalisme.

Dalam The Blackwell Encyclopedia of Political Thought, disebut:
Patriotism: a love of one's homeland, implying a readiness to act in its defense and to favour it in other dealings. It is often confused with nationalism, but is a far older idea, and carries with a less theoretical baggage. Nationalism presupposes that nations exist as real and distinct entities; patriotism, on the other hand, may simply involve attachment to a physical locality or a way of life, and need not involve any abstract idea of ‘country'.

Jangan Nafikan

Tiada pihak yang boleh memaksa orang lain mencintai parti politik yang berkuasa dalam watannya atas nama semangat patriotisme. Tiada siapa pula yang boleh ditakrifkan sebagai tidak patriotik hanya kerana dia tidak menyokong kerajaan tertentu yang berkuasa atas negeri atau negaranya. Kuasa politik boleh datang dan pergi. Boleh bertukar ganti.

Sultan dan menteri juga boleh dibuang ataupun dipasang. Hanya keadaan yang menentukan. Namun hakikat bahawa tanahair dan watan ini adalah milik kita, lahir di sini, berketurunan di sini, membesar dalamnya adalah sesuatu yang tidak boleh diubah dan dinafikan oleh mana-mana pihak pun.

Justeru, penentangan terhadap kuasa politik di watannya yang seseorang tinggal dalamnya tidak menafikan cinta dan sayangnya dia kepada tanahairnya. Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dihalau keluar dari Mekah. Mereka kemudian berpakat dengan orang Madinah memerangi kuasa politik Mekah yang zalim. Bahkan mendapat bantuan luar menawan Mekah dan membebaskan Mekah dari kuasa yang zalim tersebut. Itu semua tidak menafikan cinta Nabi SAW kepada Mekah.

Orang Kelantan yang tidak suka PAS bukan bererti tidak sayang Kelantan. Orang Penang yang tidak suka DAP bukan bererti tidak sayang Pulau Pinang. Orang Selangor yang tidak suka PKR bukan bererti tidak sayang Selangor. Orang Malaysia yang tidak suka BN bukan bererti tidak cintakan negara.

Begitulah seterusnya. Mungkin yang rakyat tidak suka itu ialah penyelewengan kuasa dan penyalahgunaan harta rakyat oleh mereka yang memegang tampuk-tampuk tersebut. Namun, sayang negeri dan negara tetap kekal.

Jadi mereka jangan cuba menafikan kecintaan seseorang kepada tanahair; negeri ataupun negara mereka hanya kerana tidak mendapat sokongan politik yang idamkan.

Sesiapa yang sayangkan tanahairnya lalu enggan watannya dirosakkan. Rela mempertahankan kebaikan dan kebenaran yang menjadi hak buminya, maka dia seorang yang cintakan tanahairnya, dia seorang yang patriotik!

Cara kecintaan itu diterjemahkan mungkin berbeza, tapi cinta tetap di jiwa.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

Artikel Pencerahan:Apakah Islam galakkan perjuangan yang bersifat perkauman?


Apakah Islam dan Nabi Islam Muhammad SAW menggalakkan perjuangan yang bersifat perkauman?

Islam agama universal ini wajarkah dikaitkan dengan ‘jihad perkauman’ yang telah mencetuskan pelbagai perbalahan sepanjang sejarah?

Wajarkah Islam dikaitkan dengan perjuangan perkauman?

Sehingga semasa saya di Malaysia baru-baru ini, dalam seminar bersama para penulis maya, seorang tokoh agama berjawatan tinggi dalam forum melahirkan rasa tidak puas hati kerana di Tanah Melayu ini ada masjid India, Benggali dan Cina.

Kelihatan, begitu sekali Islam itu diacuankan secara perkauman sehingga menafikan hak budaya muslim kaum lain. Untuk menjawab persoalan ini, saya ingin sebutkan beberapa noktah berikut;

Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi Arab, atau Melayu, atau Inggeris atau India atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang.

Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil.

Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu.

Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya) “Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)". (Surah al-Isra, ayat 15).
Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua.

Sabda Nabi SAW:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan”(Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Jika hal ini tidak dihayati, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah.

Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut: “I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.

Maka, berdasar dua asas di atas, apa-apa sahaja tindakan atau pembahagian ekonomi dan sosial yang berasaskan bangsa terdedah kepada unsur-unsur ketidakadilan disebabkan faktor di atas. Hakikatnya, menilai berdasarkan agama lebih luas dari berasaskan bangsa. Kemudian, menilai keperluan kehidupan berdasarkan latar ekonomi seseorang lebih luas dari penilaian berdasarkan agama atau bangsa.

Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Firman Allah: (maksudnya) “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya". (Surah al-Hujurat: 13).
Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan.

Kata Sayyid Qutb dalam menafsirkan ayat ini: “Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah.

Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu; “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).

Maka, apa-apa sahaja tindakan atau peraturan yang boleh membawa permusuhan kaum, atau permusuhan atas dasar bangsa dan etnik, maka ia menjurus kepada unsur ketidakadilan yang ditolak oleh prinsip asas Islam.

Tiada kaum yang boleh menganggap mereka ‘lebih tuan’ dalam ertikata racial supremacy. Adapun hadis Nabi: “Para pemimpin dari Quraish” (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll) tidak boleh dijadikan hujah ketuanan sesuatu bangsa. Hadis ini bukan soal ketuanan, tetapi soalan kemampuan dan pengaruh politik diambil kira dalam perlantikan pemimpin. Oleh kerana Quraish mempunyai pengaruh dan kemampuan politik dalam kalangan Arab ketika itu, maka mereka paling layak.

Dalam masa yang sama Nabi bersabda:“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah” (Riwayat Muslim).

Hadis ini menafikan ketuanan kaum (racial supremacy) tertentu.

Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini.

Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah: (maksudnya) “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam)."

"Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

Menolong seseorang berdasarkan agama memberikan ruang yang lebih terbuka daripada menolong seseorang berdasarkan bangsa. Ini kerana seseorang boleh memilih agamanya, tetapi tidak boleh memilih bangsanya.

Menolong Kaum Dalam Islam

Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga.

Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah: (maksudnya) “Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Surah al-Rum, ayat 37)

Nabi juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.

Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanatik puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain.

Sabda Nabi: “Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Muslim).

Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu ‘asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi ‘asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan ‘asabiyyah.

Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi boleh menjadi keperluan sementara yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.

Ertinya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.

Namun, berjihad menentang kaum lain atas nama bangsa, bukan ajaran Islam.

Sumber: Malaysiakini.com