Perfect Your Dream Slideshow: -SIXZEROSIX-’s trip to Kuala Lumpur was created with TripAdvisor TripWow!

Jiwa perubahan



Sebenarnya, dalam kalangan manusia ini ada insan-insan yang memang seakan terpilih untuk melakukan tanggungjawab membaiki masyarakat mereka. Allah bekalkan dalam diri mereka ini jiwa yang besar, keberanian, kesanggupan menghadapi rintangan dan ketidakmampuan berdiam diri melihat kepincangan masyarakat mereka.

Ketika orang lain takut dan tidak sanggup menghadapi reaksi balas masyarakat, atau gagal untuk berfikir ke arah perubahan yang lebih baik, golongan pembaharuan ini tampil membayar harga yang mahal, mengharungi cabaran dan ancaman demi merubah apa yang mereka yakini salah.

Mereka menjadi pejuang yang dalam hayat mereka terpaksa mengharungi pelbagai tribulasi demi misi yang hendak mereka capai. Ada dalam kalangan mereka yang melihat kejayaan semasa hidup, ada yang hanya dikenang setelah mereka tiada lagi di dunia ini.

Golongan ini akan sentiasa wujud untuk menyelamatkan umat manusia. Mereka adalah kurnia Allah untuk kebaikan insan.

Dalam konteks yang lebih luas, pembaharuan bukan sahaja berlaku dalam kalangan umat Islam, tetapi juga berlaku dalam kalangan mereka yang bukan Muslim. Allah takdirkan banyak bangkit para pejuang yang cuba menyelamatkan ketidakadilan dan kekejaman yang berlaku dalam masyarakat mereka.

Tokoh-tokoh seperti Martin Luther, Gandhi, William Wilberforce, Nelson Mandela dan lain-lain merupakan rahmat Tuhan kepada hamba-hamba-Nya. Mereka telah mengorbankan diri untuk menghalang kezaliman ke atas orang lain. Mereka patut dipuji, dikenang dan disanjung.