Hadis ‘Cintakan tanahair itu daripada iman' tidak sahih. Bahkan ia
hadis maudu' (palsu). Ini dinyatakan oleh al-Saghani (meninggal
650H/1252M) dalam karyanya al-Maudu‘aat. Ini dipersetujui oleh para ilmuwan ulung hadis seperti yang disebut oleh ‘Ali al-Qari dalam bukunya al-Masnu' fi Ma'rifat al-Hadith al-Maudu'.
Walaupun
hadis ini palsu (fabricated) dari sudut kesabitannya (authenticity)
daripada Nabi Muhammad SAW, namun ada tokoh seperti Muhammad Tahir
al-Fatani (meninggal 986H/1578M) dari India dalam karyanya Tazkirah
al-Maudu‘aat menyatakan dari sudut maksud ataupun isi kandungannya
benar.
Dalam kata lain menurut pendapat beliau, hadis ini memang
tidak sabit daripada Nabi SAW, tetapi kandungan maksud yang terdapat
dalam teks itu benar. Ertinya, cinta tanahair itu termasuk dalam iman.
Pun begitu, sarjana hadis lain seperti Muhammad Nasir al-Din al-Albani memberikan komentar yang berbeza. Dalam karyanya Silsilah al-Da'ifah wa al-Maudu'ah, beliau menyebut:
"Makna
hadis ini tidak betul. Ini kerana cintakan tanahair sama seperti
cintakan nyawa, harta dan seumpamanya. Semua itu sudah wujud dalam jiwa
insan. Tidak dipuji kerana mencintainya, tidak juga ia termasuk dalam
kelaziman iman. Tidakkah engkau lihat semua manusia berkongsi cinta
tersebut? Tiada beza antara yang mukmin dan yang kafir" (1/110. Riyadh:
Maktab al-Ma'arif).
Fitrah
Pendapat
al-Albani ini benar dari satu sudut bahawa ia sesuatu yang termasuk
dalam gharizah iaitu tabiat semulajadi insan ataupun fitrah. Namun
menyatakan ia tidak terpuji adalah sesuatu yang kurang tepat. Islam
memuji manusia yang hidup berpegang kepada fitrah.
Sayang harta
yang mengelakkan pembaziran dipuji dalam Islam. Sayang nyawa yang
menghalang kemusnahan diri diperintahkan oleh al-Quran. Pembaziran dan
pemusnahan jiwa diharamkan. Sudah pasti cinta tanahair yang menghalang
kerosakannya sesuatu yang dipuji.
Sesuatu yang sama antara Muslim
dan non-Muslim bukan bererti tidak dipuji dalam Islam. Menyayangi
anak-anak dan ibubapa sesuatu yang dikongsi oleh Muslim dan bukan
Muslim. Ia terpuji. Menghilangkan bahaya di jalanan, termasuk dalam
cabang iman.
Orang bukan Muslim juga melakukannya. Walaupun untuk
mereka ia tidak termasuk dalam iman tetapi mereka juga melakukannya. Ia
sesuatu yang terpuji. Persamaan tidak menafikan kebaikan. Pandangan
al-Albani di sini kurang kemas untuk diterima.
Kasih Nabi Muhammad SAW
Apa
yang saya hendak sampaikan, betapa kecintaan kepada tanahair adalah
sesuatu yang terpuji. Ia termasuk dalam fitrah insan untuk mencintai
tanahairnya. Nabi Muhammad SAW pun cintakan tanahairnya iaitu Mekah.
Apabila
dihalau oleh penduduk Mekah, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat
terpaksa berhijrah ke Madinah. Para sahabat termasuk Bilal bin Rabah
yang merupakan seorang hamba abdi ketika di Mekah, demam merindui Mekah.
Apatah lagi Abu Bakar al-Siddiq yang merupakan bangsawan Mekah. Apabila
Nabi SAW mengetahui keadaan itu, baginda berdoa:
"Ya Allah!
Jadikanlah cinta kami kepada Madinah seperti cinta kami kepada Mekah,
ataupun lebih dari itu" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Nabi
Muhammad SAW sendiri pernah mengucapkan untuk Mekah: "Alangkah indah
engkau (Mekah) sebuah negara. Alangkah sayangnya daku kepadamu. Jikalau
tidak kerana kaumku menghalau daku keluar darimu, aku tidak akan menetap
selain darimu"(Riwayat al-Tirmizi, sahih).
Sekalipun Nabi SAW
terpaksa bertempur dengan pasukan tentera Mekah yang dikuasai rejim
Quraish yang zalim, itu tidak pernah mematikan rasa kasih dan sayang
kepada tanah air baginda iaitu Mekah.
Demikianlah juga perasaan
para sahabah yang terpaksa berhijrah meninggalkan Mekah yang mereka
kasihi. Fath al-Makkah ataupun Pembukaan Mekah di mana Nabi SAW kembali
mengambil alih Mekah dengan kuasa tentera bersama orang lain dari luar,
adalah kemuncak kecintaan kepada Mekah. Mereka membersihkan Mekah dari
kesyirikan, kezaliman, penindasan dan selainnya. Itu tanda kasih mereka
kepada Mekah.
Patriotik
Kasihkan
watan adalah sesuatu yang fitrah. Orang Melayu bermadah ‘tempat jatuh
lagi dikenang, inikan pula tempat bermain'. Tanahair ialah tempat
kelahiran kita dan keluarga. Membesar dalam persekitarannya. Mencium
udaranya. Meminum airnya. Memakan makanannya. Melihat budaya, warna dan
rupa saban masa dalamnya.
Lebaran kenangan diari kehidupan yang
tersimpan tentangnya. Jiwa yang normal pasti akan menghargai dan
mengasihi. Sayang dan ingin membelanya dari kerosakan. Itu makna
patriotik yang sebenar.
Perlu diingat, semangat sayang dan kasih
kepada tanahair tidak berkaitan dengan kecintaan kepada kuasa politik
yang menguasainya. Orang Pulau Pinang yang sayangkan Pulau Pinang tidak
semestinya sayangkan pemerintahannya, demikian Kelantan, Terengganu,
Kedah dan lain-lain.
Orang Malaysia sayangkan watan ini,
cintakan tanah tumpah darah ini tidak semestinya bersetuju ataupun
mencintai kuasa politik yang memerintah di dalamnya. Perlu dibezakan
antara semangat patriotisme dan nationalisme.
Dalam The Blackwell Encyclopedia of Political Thought, disebut:
Patriotism:
a love of one's homeland, implying a readiness to act in its defense
and to favour it in other dealings. It is often confused with
nationalism, but is a far older idea, and carries with a less
theoretical baggage. Nationalism presupposes that nations exist as real
and distinct entities; patriotism, on the other hand, may simply involve
attachment to a physical locality or a way of life, and need not
involve any abstract idea of ‘country'.
Jangan Nafikan
Tiada
pihak yang boleh memaksa orang lain mencintai parti politik yang
berkuasa dalam watannya atas nama semangat patriotisme. Tiada siapa pula
yang boleh ditakrifkan sebagai tidak patriotik hanya kerana dia tidak
menyokong kerajaan tertentu yang berkuasa atas negeri atau negaranya.
Kuasa politik boleh datang dan pergi. Boleh bertukar ganti.
Sultan
dan menteri juga boleh dibuang ataupun dipasang. Hanya keadaan yang
menentukan. Namun hakikat bahawa tanahair dan watan ini adalah milik
kita, lahir di sini, berketurunan di sini, membesar dalamnya adalah
sesuatu yang tidak boleh diubah dan dinafikan oleh mana-mana pihak pun.
Justeru,
penentangan terhadap kuasa politik di watannya yang seseorang tinggal
dalamnya tidak menafikan cinta dan sayangnya dia kepada tanahairnya.
Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dihalau keluar dari Mekah. Mereka
kemudian berpakat dengan orang Madinah memerangi kuasa politik Mekah
yang zalim. Bahkan mendapat bantuan luar menawan Mekah dan membebaskan
Mekah dari kuasa yang zalim tersebut. Itu semua tidak menafikan cinta
Nabi SAW kepada Mekah.
Orang Kelantan yang tidak suka PAS bukan
bererti tidak sayang Kelantan. Orang Penang yang tidak suka DAP bukan
bererti tidak sayang Pulau Pinang. Orang Selangor yang tidak suka PKR
bukan bererti tidak sayang Selangor. Orang Malaysia yang tidak suka BN
bukan bererti tidak cintakan negara.
Begitulah seterusnya.
Mungkin yang rakyat tidak suka itu ialah penyelewengan kuasa dan
penyalahgunaan harta rakyat oleh mereka yang memegang tampuk-tampuk
tersebut. Namun, sayang negeri dan negara tetap kekal.
Jadi
mereka jangan cuba menafikan kecintaan seseorang kepada tanahair; negeri
ataupun negara mereka hanya kerana tidak mendapat sokongan politik yang
idamkan.
Sesiapa yang sayangkan tanahairnya lalu enggan
watannya dirosakkan. Rela mempertahankan kebaikan dan kebenaran yang
menjadi hak buminya, maka dia seorang yang cintakan tanahairnya, dia
seorang yang patriotik!
Cara kecintaan itu diterjemahkan mungkin berbeza, tapi cinta tetap di jiwa.
PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN